Halaman

06 September 2007

Serangan Jepun Ke Atas Muar

Pada 10 Januari 1942(1) , Bandar Muar, Johor telah dibom oleh tentera-tentera Jepun.


Pengeboman bandar Muar itu menandakan saat-saat terakhir kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun oleh kerana kedudukan Muar dan Johor yang strategik bagi pertahanan di Selatan Tanah Melayu. Di samping itu Muar dianggap sebagai kubu kedua selepas Kedah.


Serangan-serangan bom ini telah dilakukan oleh pasukan tentera udara Jepun. Akibat serangan ini Jepun kemudiannya telah menguasai tebing utara Sungai Muar. Sungai Muar merupakan halangan terakhir di Tanah Melayu sebelum mereka sampai di Johor Bahru.


Serangan-serangan udara tentera Jepun ini telah dibantu pula oleh kemaraan pasukan ke-15 tentera berjalan kaki Jepun yang diketuai oleh jeneral Nizhimura. Mereka melakukan serangan daripada tiga penjuru, dan terus bergerak menyusur pantai dari muara Sungai Muar menuju Muara Sungai Kesang.


Dengan menggunakan jambatan-jambatan yang dibina di atas perahu-perahu, pasukan tentera berjalan kaki dan kereta-kereta kebal Jepun kemudiannya menyeberang Sungai Muar dan pada 16 Januari 1942 berjaya menguasai Sungai Muar sepenuhnya.


Untuk mempertahankan Muar, Inggeris telah menghantar pasukan 'Brigade ke-45 Infantry India,' dan pasukan 'Australian Imperial Force' di bawah arahan Leftenan General Bennets. Pasukan Brigade ke-45 'Infantry India' yang baru tiba dan tidak mempunyai pengalaman perang ini telah menyebabkan pasukan Jepun dapat menawan bandar Muar dengan mudah. Ini merupakan satu kelemahan Inggeris yang nyata sekali.


Inggeris terpaksa berundur dan cuba menyerang balas di Bakri (3), tetapi gagal. Pada 20 Januari 1942 askar yang bertahan di Bakri telah diarahkan berundur apabila suasana di Muar semakin membimbangkan. Tentera-tentera Jepun terus mara dan menawan Batu Pahat, Keluang dan Ayer Hitam.


Menyedari suasana bahaya sekiranya mereka terus bertahan di Johor, pihak Inggeris selepas bersidang di 'Pejabat Third Indian Corporations' telah mengambil keputusan untuk berundur dari Johor mulai 28 Januari 1942 atau selewat-lewatnya pada 31 Januari 1942.


Dengan pengunduran ini maka berakhirlah pertahanan British di Tanah Melayu. Kejatuhan Muar ke tangan Jepun telah mematikan harapan mereka untuk menyekat kemaraan Jepun. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan dengan kejatuhan Muar, pintu bagi penguasaan seluruh Tanah Melayu telah terbuka. Jepun hanya menunggu masa untuk terus mara ke Singapura.


Rujukan :
(1) The Straits Times, 12 Januari 1942, hal. 4 dan Ghazali b. Mahyuddin, Johor semasa Pendudukan Jepun 1942-1945, hal.-4.


(2) Selection of Documents from the Imperial War Museums (Japanese AI Series) hal. 49.

(3) Ibid; hal. 51.


Tiada ulasan:

Rangkaian Blog