10 Mac 2013

Telur Pindang Ikon Muhibbah

Bagi penduduk di luar negeri Johor, telur pindang bukan makanan yang dapat selalu dilihat apatah lagi dinikmati. Namun seiring dengan masa, telur pindang semakin dikenali seluruh masyarakat. Apatah lagi kian ramai pengusaha memasarkannya secara komersil.

Malangnya, apabila ia sudah jadi komersil, ada peniaga bertindak memasukkan bahan asing sehingga mencemarkan resipi asli telur pindang. Sebagaimana kes pisang diadun dalam tempoyak, ada pengusaha telur pindang mencampurkan kulit bawang dan kicap untuk menjadikan warnanya lebih menarik.

Terserah pada orang lain tapi saya tetap berpegang pada resipi turun temurun keluarga. Bagi saya inilah satu-satunya makanan paling unik kerana tidak boleh ditipu.

Sebarang perubahan akan mendatangkan kesan pada tekstur dan rasa,ujar Norliza Abd Raub, 39, yang sudah enam tahun membekal telur pindang untuk majlis perkahwinan dan kedai-kedai di seluruh negara.

Menurut Norliza, telur pindang sememangnya sinonim dengan kehidupan masyarakat Jawa di Johor terutama di Batu Pahat dan Muar. Di tempat kelahirannya, Parit Sidek Semerah, Batu Pahat, telur pindang menjadi makanan wajib yang menyatukan tuan rumah dengan tetamu dan saudara mara yang datang bertandang apabila ada majlis kenduri kendara.

Zaman dahulu, saudara mara akan datang untuk membantu apabila ada majlis kahwin. Biasanya mereka tinggal beberapa hari atau minggu untuk membantu sebelum pulang ke rumah masing-masing. “Ketika mahu pulang mereka akan dibekalkan ‘bontrot’ atau ‘barkat’ iaitu bungkusan makanan sebagai tanda terima kasih. Disebabkan perjalanan mengambil masa kerana tiada jalan raya seperti hari ini, telur pindang menjadi makanan terbaik untuk dibekalkan kerana ia tahan lama dan mengenyangkan, katanya.

Tiga hari dimasak

Menyambung warisan moyang yang sejak dulu berniaga telur pindang di Senggarang, Batu Pahat; Norliza tidak kedekut berkongsi ramuan asas yang menjadi resipi keluarganya.

Ramuan utama terdiri daripada daun jambu batu, manggis, senduduk, serai, halia, lengkuas, garam dan campuran herba.



Selain bahan-bahan yang agak banyak, cabaran terbesar memasak telur pindang adalah isu masa. Bayangkan, telur-telur yang sudah dicampurkan bersama kesemua ramuan mesti berada atas api mendidih sekurang-kurangnya tiga hari tiga malam.

Apa perlu dilakukan dalam tempoh tersebut hanya jenguk isi air dan tambah apabila berkurang sahaja. “Sebab itu jarang dengar orang masak telur pindang setakat sepuluh biji. Memang tak berbaloi, kata Norliza.




Tempoh lama berada di atas api amat perlu untuk memastikan kesemua ramuan sebati dan menyerap baik dengan isi telur. Ia juga penting agar telur pindang tahan lama.

Malah di Johor, menjadi perkara biasa jika telur pindang disimpan antara enam bulan sampai setahun.



Bagaimanapun tegas Norliza, telur pindang agak ‘sensitif’. Selain ramuan dan tempoh masak, rasa dan ketahanan bergantung juga pada aspek kebersihan dan kesegaran telur digunakan. Jika tidak, macam-macam perkara boleh berlaku, antaranya banyak telur pecah, warna tidak sekata, kuning telur tidak berada di tengah-tengah dan rasa rempah tidak enak.

Selain menjadi ikon muhibah masyarakat sejak zaman dahulu, telur pindang unik kerana boleh diregukan dengan apa sahaja makanan selain dimakan begitu sahaja.

Mana ada makanan lain yang bukan sahaja boleh dibuat cenderamata malah boleh dimakan dengan nasi, roti, mi, susyi dan burger? Bagi saya, ia patut diangkat sebagai raja makanan! ujar Norliza.
Dia turut berkongsi kekagumannya bagaimana telur pindang membatasi teknologi kerana tahan lama meskipun tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

Justeru Norliza mengesyorkan agar satu kajian tentang telur pindang dilakukan. Sekiranya benar makanan tradisi masyarakat Jawa ini mempunyai keistimewaan yang mampu mengangkat nama Malaysia, dia menaruh harapan satu hari nanti telur pindang dijadikan satu lagi makanan identiti negara.

(Sumber : Sinar Harian, 10 September 2012)

Rangkaian Blog