Halaman

08 Disember 2015

Iskandar Puteri nama baharu Nusajaya

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Iskandar Puteri sebagai nama baharu pusat pentadbiran negeri, Nusajaya dan mengembalikan nama asal dua daerah berkuat kuasa Januari depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, Sultan Ibrahim juga berkenan supaya nama daerah Ledang dan Kulaijaya dikembalikan kepada asal iaitu Tangkak dan Kulai.

"Iskandar Puteri adalah gabungan nama lama Johor Bahru iaitu Tanjung Puteri dan Kota Iskandar manakala Tangkak adalah nama daerah Ledang sebelum ini, sama seperti Kulai untuk Kulaijaya.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan pertukaran nama itu dan kini dalam proses pewartaan dan dijangka berkuat kuasa Januari nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

05 Disember 2015

Tunku Laksamana Johor mangkat




JOHOR BAHARU, 5 Dis (Bernama) -- Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam ini di Hospital Sultanah Aminah di sini akibat kanser.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik putera Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.


Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang mengumumkan mengenai berita kemangkatan itu berkata jenazah Almarhum akan diiring ke Istana Besar malam ini dan ditempatkan di Bilik Khas Istana Besar.


"Istiadat siram jenazah dan kafan akan dilakukan kira-kira 7 pagi esok dan seterusnya jenazah Almarhum akan disemayam di Bilik Singgahsana Istana Besar," kata beliau dalam sidang akhbar di Bukit Timbalan di sini hari ini.


Abdul Rahim berkata orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir pada pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi esok di Bilik Singgahsana, Istana Besar.


Jenazah Almarhum akan disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini selepas waktu Zohor esok.

-- BERNAMA

03 November 2015

JDT Cipta Sejarah Pasukan Malaysia Pertama Juara Piala AFC






KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Jaringan tunggal perancang tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan, malam ini.

Pencapaian itu sekali gus, mengubat kekecewaan mereka yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan sulung pada 2009, yang ketika itu dikenali sebagai Johor FC.

Selaku juara, JDT membawa pulang trofi Piala AFC yang disampaikan sendiri oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain wang tunai berjumlah US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol FC meraih US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara.

Lebih manis, kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling bernilai, manakala kapten Istiklol FC, Vasiev Dilshod dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Kejayaan berkenaan merupakan trofi ketiga yang diraih JDT musim ini, selepas muncul juara Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 31 Jan lepas, selain menjuarai Liga Super 2015.

Beraksi di atas padang tiruan malam ini, nyata memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah yang menguasai babak awal perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol JDT, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka gagal meraih sebarang gol.

Nasib sebaliknya menyebelahi skuad Harimau Selatan yang berjaya mengejutkan pasukan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi Velazquez, sekali gus menggembirakan hampir 500 penyokong skuad Harimau Selatan yang turut hadir memberikan sokongan.

Gol berkenaan berpunca daripada sepakan penjuru Safiq yang ditampan keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Nikola Stosic sebelum Velazquez meluru sebelum melepaskan rembatan kaki kiri daripada luar kotak penalti.

Tersentak dengan gol itu, Istiklol FC kembali memperkemaskan permainan untuk memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan JDT diketuai Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Marcos Antonio menyaksikan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan tuan rumah meneruskan serangan ke arah kubu JDT, dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi Dzhalilov Manuchehr Jalilov, namun jaringannya dibatalkan pengadil, Minoru Tojo dari Jepun selepas Dilshod berada pada kedudukan ofsaid.

Jalilov sekali lagi, berjaya menjaringkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan, namun Minoru tidak membenarkan gol berkenaan kerana pemain itu berada pada kedudukan ofsaid, dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

-- BERNAMA

06 April 2015

Bendera Daerah-Daerah dalam Negeri Johor

Berikut merupakan bendera daerah-daerah dalam Negeri Johor Darul Ta'zim yang telah diperkenan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta'zim sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Johor pasa 23 Mac 2015 :


12 Mac 2015

Sultan Johor salur RM10 juta



SULTAN Ibrahim dalam temu bual khas sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
SULTAN Ibrahim dalam temu bual khas sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35284#sthash.TMgOPctJ.dpuf

Johor Bahru : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyalurkan dana RM10 juta kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang ditubuhkan bagi membantu pesakit kurang berkemampuan termasuk pembiayaan kos rawatan.

Sultan Ibrahim bertitah kewujudan yayasan berkenaan berikutan keadaan kesihatan anakandanya Tunku Abdul Jalil yang sebelum ini disahkan menghidapi kanser hati tahap empat ketika berada di England.

“Penyakit itu hanya diketahui apabila tangannya sakit. Ketika di England, pada tengah malam, anak saya cari saya kata tidak tahan sakit sangat dan bila ke hospital dan membuat scan (imbasan) nampak ada benda putih.

“Ketika dirawat di London, barulah doktor sahkah dia menghidap kanser hati, doktor kata nak bedah untuk periksa, saya kata nanti dulu.

“Saya hubungi hospital di Singapura dan bawa balik anak saya yang menjalani kemoterapi empat pusingan sebelum didapati kanser itu berkurang, masih dalam hati tak keluar ke mana-mana, maknanya dalam kawalan,” katanya.

Baginda bertitah demikian dalam temubual khas sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor bersama wakil Media Prima Berhad di Istana Bukit Serene, di sini semalam.

Sultan Ibrahim bertitah atas nasihat rakannya, Tunku Abdul Jalil menjalani rawatan pemindahan hati di China dan baginda bersyukur rawatan itu berjaya.

“Alhamdulillah rawatan itu berjaya, hati berfungsi dengan normal. Saya rasa Allah masih sayang dia. Atas sebab itu saya suruh Tunku Laksamana membuat satu yayasan yang dipanggil Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

“Yayasan itu ditubuhkan dalam masa terdekat. Kertas kerja semua siap. Tujuannya kami kena tolong orang yang tak mampu untuk pemulihan dan bermacam lagi,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menasihatkan semua peniaga yang berjaya supaya membantu orang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan penyakit kanser.

“Saya nak nasihatkan sikit kepada saudagar besar semua ini, tolonglah orang susah, ramai orang sakit. Jadi orang yang kaya lain kena hulurkan bantuan. Ini tanggungjawab kita,” titah baginda.

- Oleh Mohd Fadh Rahmat, Harian Metro, 7 Mac 2015
Mohd Fadh Rahmat
Mohd Fadh Rahmat

03 Mac 2015

Yang DiPertuan Agong Kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara Kepada Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 2 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran, Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mewakili Seri Paduka, telah menyampaikan pengurniaan darjah kebesaran itu kepada Sultan Ibrahim dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Serene di sini.
 


Majlis penyampaian darjah kebesaran itu turut disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.
 


Antara pegawai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Darjah kebesaran itu dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri.

-- BERNAMA, 02 MAC 2015

06 Januari 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Kelima Pada 23 Mac 2015

DYMM Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan DYMM Raja Zarith Sofiah Sultan Idris

JOHOR BAHARU, 5 Jan (Bernama) -- Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden akan diadakan di Istana Besar Johor pada 23 Mac ini, kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato' Abdul Rahim Ramli.

Beliau berkata bersempena kemahkotaan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan memberi gelaran baharu kepada isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini.

Beliau berkata 23 Mac juga diumumkan sebagai cuti umum bagi negeri Johor tahun ini, untuk memberi peluang kepada rakyat agar sama-sama meraikan hari kemahkotaan tersebut.

"Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, sekurang-kurangnya sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan akan diadakan bermula 16 Mac ini dan sambutan dijangka berlangsung selama tiga bulan," katanya kepada pemberita di Pejabat Jumaah Majlis Diraja Johor, di sini, Isnin.

Turut hadir Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Dato' Abdul Latiff Yusof.

Abdul Rahim berkata istiadat kemahkotaan itu amat istimewa memandangkan kali terakhir istiadat itu diadakan adalah pada 55 tahun yang lepas.

"Istiadat kemahkotaan tuanku adalah eksklusif tetapi mengandungi ciri-ciri yang pernah diperlakukan dalam istiadat sebelumnya bagi mengekalkan dan memperkayakan budaya istana," katanya.

Beliau berkata kali terakhir istiadat kemahkotaan diadakan ialah pada 10 Feb 1960 ketika Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dimahkotakan.

Sempena istiadat itu, Abdul Rahim berkata setem pos yang direka khas untuk kemahkotaan dalam denominasi 60 sen, 80 sen dan RM1 serta sampul surat hari pertama kemahkotaan akan dicetak dan dijual oleh Pos Malaysia mulai 23 Mac.

Medallion emas bersempena kemahkotaan itu juga akan dijual oleh Bank Negara, katanya.

Lebih 30,000 rakyat dijangka menyaksikan istiadat kemahkotaan yang akan disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen terpilih dan juga skrin besar di Dataran Bandaraya Johor Baharu, katanya.


(sumber : Bernama)

ABDUL RAHIM RAMLI (kiri) dan Abdul Latiff Yusof menunjukkan lambang istiadat pemahkotaan dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. – Utusan/AMIN FARIJ HASAN
ABDUL RAHIM RAMLI (kiri) dan Abdul Latiff Yusof menunjukkan lambang istiadat pemahkotaan dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. – Utusan/AMIN FARIJ HASAN - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/istiadat-kemahkotaan-sultan-johor-kelima-23-mac-1.45001#sthash.uaOWPoJo.dpuf
ABDUL RAHIM RAMLI (kiri) dan Abdul Latiff Yusof menunjukkan lambang istiadat pemahkotaan dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. – Utusan/AMIN FARIJ HASAN - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/istiadat-kemahkotaan-sultan-johor-kelima-23-mac-1.45001#sthash.uaOWPoJo.dpuf
ABDUL RAHIM RAMLI (kiri) dan Abdul Latiff Yusof menunjukkan lambang istiadat pemahkotaan dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. – Utusan/AMIN FARIJ HASAN - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/istiadat-kemahkotaan-sultan-johor-kelima-23-mac-1.45001#sthash.uaOWPoJo.dpuf

Rangkaian Blog