19 Jun 2011

Kembara Mahkota Johor 2011 (18 Jun 2011)

RM100,0000 taja Kembara Mahkota Johor (Utusan Malaysia)




SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar melambai tangan kepada rakyat sambil memeluk anakandanya, Tunku Abu Bakar di atas bot nelayan ketika menyusuri Sungai Muar dari Jeti Istana Tanjung ke Jeti Jorak pada hari pertama Kembara Mahkota Johor 2011 yang bermula di Muar, semalam. Turut kelihatan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. - MINGGUAN /ISHAK RAHMAD

JOHOR BAHRU 18 Jun - Lembaga Tabung Haji (TH) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menyumbang RM100,000 untuk menjayakan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) edisi ke-14 bermula hari ini.

Penyerahan replika cek TH dan TNB yang masing-masing berjumlah RM50,000 itu dilakukan di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim di sini, kelmarin.

Pengarah TH negeri, Ahmad Sohaimi Abd. Rahim dan Pegawai Kewangan TNB negeri, Mohd. Anas Mohd. Yusof menyerahkan replika cek itu kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Jamil Salleh.

Jamil dalam ucapannya memberitahu, sumbangan tersebut akan disalurkan untuk projek kebajikan KMJ bagi membantu golongan yang memerlukan.

Sasarannya, kata beliau, ialah golongan miskin dan membina sekolah serta rumah penduduk daif bertujuan meringankan beban mereka.

"Pada masa sama, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri akan menyampaikan sumbangan peribadi berupa dua mesin dialisis kepada bangunan wakaf milik Jabatan Agama Islam Johor di Batu Pahat," katanya.

KMJ 2011 sejauh 800 kilometer itu bermula dari Jeti Istana Tanjung, Muar menuju ke Jeti Jorak sebelum meneruskan perjalanan ke pekan Pagoh, Felda Chempelak (Labis), Felda Ayer Hitam dan konvoi itu akan bermalam di Sri Lambak, Kluang.

Pada hari kedua, ketiga dan terakhir, konvoi turut menemui penduduk di semua 10 daerah di negeri ini, menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, gotong-royong, riadah dan sukan yang diadakan.

Konvoi yang disertai kira-kira 30 motosikal berkuasa tinggi dan 40 kenderaan pacuan empat roda itu akan menamatkan penjelajahan di Bangunan Sultan Abu Bakar, Muar pada 21 Jun ini.

_________________________________________________________________

 Saksi sejarah tercipta lagi (Sinar Harian)


MUAR – Kembara Mahkota Johor 2011 (KMJ 2011) bagi siri ke-14 sekali lagi melakar sejarah apabila Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyusuri Sungai Muar dengan menaiki bot nelayan.

Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam itu dimulakan dari Jeti Istana Tanjung Muar sehingga Jeti Jorak, Bukit Pasir selepas berlangsungnya Majlis Pelancaran KMJ 2011 di pekarangan Istana Tanjung Muar.

Rombongan baginda tuanku menyusuri Sungai Muar turut diiringi oleh Putera Bongsu, Paduka Putera Tunku Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan 40 ketua jabatan negeri serta persekutuan.

Aktiviti menyusui Sungai Muar mempunyai mesej yang jelas bertepatan dengan tema KMJ 2011 pada kali ini iaitu 'Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Kita'.

Baginda tuanku turut menyertai kempen menjaga alam sekitar serta program kebersihan termasuk aktiviti menanam pokok.

Kelainan yang dilakukan itu sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memulihara alam sekitar melalui cara mempertahankan hutan simpan, menanam semula pokok hutan, memulih hutan tersorok dan program menanam pokok seluruh negeri.

Sepanjang hampir dua jam perjalanan menyusuri Sungai Muar, baginda tuanku berpeluang melihat sendiri tahap kebersihan di Sungai Muar yang menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di sini.

Namun lebih mengujakan apabila ribuan rakyat jelata sabar menanti ketibaan baginda tuanku meskipun terpaksa menunggu lebih tiga jam semata-mata mahu melihat baginda tuanku menaiki bot nelayan dan menyambut ketibaan baginda tuanku di Jeti Jorak.
 _________________________________________________________________________________

Konvoi bermula (Berita Harian)
Oleh MOHD HARZRUL AMINUDDIN dan SHARIFAH ZULAIKHA SYED AMALI
metahad@hmetro.com.my
 
 
MUAR: Selepas sebulan dirancang, Kembara Mahkota Johor (KMJ) edisi ke-14 berkonsepkan ‘Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Kita’ akhirnya bermula di perkarangan Istana Tanjung, di sini, jam 8 pagi semalam, dengan misi menjelajah 10 daerah di negeri ini dalam tempoh empat hari.

Bagi mendukung misi itu, pada hari pertama, KMJ14 menjelajah ke dua lokasi di sekitar Jorak dan bandar ini menggunakan jalan darat serta air.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail memulakan konvoi dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi diiringi 30 yang lain manakala ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim mencemar duli dengan menaiki sebuah bot nelayan.

Lebih 2,000 rakyat jelata di sekitar daerah ini berkumpul seawal jam 7 pagi di perkarangan Istana Tanjung sebelum KMJ14 dimulakan sebagai tanda sokongan.

Kembara yang dirasmikan Sultan Ibrahim tiba di destinasi pertama iaitu Kampung Jorak, dua jam selepas konvoi dimulakan.

Turut hadir, Sultanah Johor, Raja Zarith Sofia dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Abdul Ghani berkata, rakyat negeri ini sentiasa menantikan kedatangan KMJ14 kerana ia peluang keemasan bersua muka dan bermesra dengan Sultan Ibrahim.

“Kesanggupan baginda mencemar duli menjelajah ke segenap pelusuk daerah melambangkan keprihatinan dan kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan rakyat jelata,” katanya.

17 Jun 2011

Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2011


Siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2011  akan berlangsung selama empat hari mulai 18 Jun depan, bermula dan berakhir di Muar.

Kembara yang akan merentasi jarak sejauh 797 kilometer meliputi 10 daerah itu akan menggunakan tiga jenis kenderaan, iaitu motosikal berkuasa besar, pacuan empat roda dan bot.

Dalam siri jelajah kali ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, akan disertai isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; kerabat diraja serta 40 ketua-ketua jabatan diiringi 30 motosikal berkuasa besar.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Obet Tawil, berkata sepanjang KMJ 2011, Sultan Ibrahim akan menyertai program amal, gotong-royong dan program bersama rakyat.

“Tuanku akan memberikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, ibu tunggal dan kanak-kanak istimewa.

“Tuanku juga akan singgah di Bandar Tekstil Malaysia, Tangkak, dan Dataran Sungai Rengit, Kota Tinggi yang terkenal dengan makanan laut segar,” katanya.

Selari dengan tema KMJ 2011 “Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Kita Bersama”, 20,000 anak pokok teduhan akan diberikan kepada setiap daerah di negeri ini untuk ditanam.

Katanya, anak pokok itu akan ditanam secara serentak di semua daerah kecuali di Jemaluang, Mersing, yang akan ditanam sendiri oleh Sultan Ibrahim pada hari kedua KMJ.

16 Jun 2011

Sultan Johor pengerusi Mesyuarat ke-224 Majlis Raja-Raja


KUALA LUMPUR (15 Jun 2011) : Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini mempengerusikan Mesyuarat ke-224 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini.

Mesyuarat hari pertama itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang gering.

Terengganu diwakili Tengku Seri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel, dan Kedah oleh Tunku Bendahara Datuk Seri Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Kecuali Kelantan, Raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka oleh Ketua Menteri masing-masing.

Sultan Kelantan diiringi wakil Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah manakala Yang Dipertua Negeri Sarawak diiringi wakil Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Rangkaian Blog