Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

21 Oktober 2014

Tunku Mahkota Johor Nikah 24 Oktober Ini


JOHOR BAHARU, 20 Okt (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 30, bakal menamatkan zaman bujangnya Jumaat ini apabila melangsungkan pernikahan dengan Cik Khaleeda Bustamam, 21.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata istiadat pertunangan dan pernikahan baginda dengan wanita pilihannya itu akan berlangsung di Istana Bukit Serene pukul 10 pagi 24 Oktober 2014.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menghadiahkan tujuh barangan kepada pihak perempuan, manakala pihak keluarga perempuan pula akan membalasnya dengan sembilan barangan," katanya pada sidang media di Bukit Timbalan, di sini Isnin.

Istiadat pernikahan dikendalikan Mufti Johor Datuk Tahrir Samsuddin.

Hanya kerabat dan keluarga terdekat kedua-dua pasangan dijemput menghadiri istiadat pertunangan dan pernikahan itu.

Cik Khaleeda akan dikurniakan gelaran Che Puan, isteri kepada Tunku Mahkota Johor selepas istiadat pernikahan itu, menurut Abdul Rahim.

Katanya, istiadat merisik telah pun berlangsung pada 27 Sept lepas dengan rombongan diraja diketuai Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

“Kemudian disusuli istiadat Meletak Kerja di Istana Besar pada jam 9 pagi, 18 Oktober lalu, di mana bendera istiadat dinaikkan anggota Askar Timbalan Setia Negeri, selain tujuh das tembakan meriam oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri DiRaja.

“Selepas itu, diadakan majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Sultan Abu Bakar jam 6 petang, 23 Oktober ini,” katanya di Bilik Mesyuarat Tun Abdul Razak, Bukit Timbalan, semalam.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor itu juga mengumumkan istiadat persandingan Tunku Mahkota Johor dengan Cik Khaleeda akan diadakan di Istana Besar, Johor Baharu pada 7.30 malam, 8 Nov depan.

Selain itu, diadakan istiadat menziarah Makam Diraja Mahmoodiah pada jam 9 pagi dan istiadat menurunkan bendera istiadat sekitar jam 2.30 petang pada 10 November.

Bagi menjayakan kesemua majlis, satu jawatankuasa induk dipengerusikan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Abdul Rahim ditubuhkan.

Istiadat persandingan itu bakal berlangsung secara sederhana tetapi penuh dengan adat istiadat diraja Johor dan ketenteraan, dijangka dihadiri oleh kira-kira 1,200 jemputan dari dalam dan luar negara.

Antara tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan exco dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor.

Menurut Abdul Rahim tiada liputan media bagi istiadat berkenaan.


Biodata Tunku Mahkota Johor

Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Baharu dan merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.

Baginda mendapat pendidikan awal persekolahan di Johor Baharu sebelum melanjutkan pendidikannya di Australian International School, Singapura pada 1999 dan Hale School di Perth, Australia.

Bermula 17 Julai 2003 hingga 11 Dis 2004, Tunku Ismail menjalani latihan ketenteraan di India Military College di Dehradun, India dan ditauliahkan pangkat Leftenan.

Baginda menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama mengetuai Rejimen Berkuda Tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Jan 2007.




Biodata Cik Khaleeda Bustamam


Cik Khaleeda dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu kepada lima adik-beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak daripada 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George's Hanover Square, London pada 2003 hingga 2004.

Cik Khaleeda melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan di Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010.


- sumber Bernama & Sinar Harian, 20 Oktober 2014

Rangkaian Blog