Halaman

30 September 2012

Tunku Temenggong Johor dilantik Pemangku Raja

Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkenan mengangkat sumpah sebagai Pemangku Raja Johor di hadapan ayahandanya Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris pada Majlis Istiadat Perlantikan Pemangku Raja di Istana Pasir Pelangi, Johor Baharu di sini hari ini. - Foto Bernama
------------------------------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHARU - Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim hari ini dilantik sebagai Pemangku Raja Johor selama ketiadaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail, di negeri ini.
  
Pengisytiharan pelantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar  itu dibacakan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dalam istiadat pengisytiharan Pemangku Raja di Istana Pasir Pelangi, di sini.
  
Pelantikan atas nasihat Jumaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut Fasal 9 (1)(c) dan (3) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
  
Sultan Ibrahim menerusi Menteri Besar turut mengisyhtihar pelantikan Tunku Ismail yang kini berada di luar negara sebagai Pemangku Raja Johor, sekembalinya baginda ke negeri ini, pada 19 Oktober depan.
  
Pelantikan atas nasihat Jumaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut fasal yang sama.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan kerabat diraja lain.

 Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkenan menandatangani surat tauliah sebagai Pemangku Raja Johor - Foto Bernama

  
Antara yang hadir Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, anggota penasihat Jumaah Majlis Diraja, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Obet Tawil dan barisan Exco kerajaan negeri.
   
Tunku Idris Iskandar, 24, merupakan anakanda ketiga Sultan Ibrahim diisytihar sebagai Tunku Temenggong pada 26 Feb 2010 oleh ayahandanya, semasa baginda bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.
   
Tunku Ismail, 28, pula dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 28 Jan 2010 setelah ayahandanya dimasyhurkan sebagai Sultan Johor berikutan kemangkatan nendanya, Sultan Iskandar Sultan Ismail. - Bernama

Rangkaian Blog