Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

27 Februari 2010

Tunku Idris Dilantik Tunku Temenggong Johor

JOHOR BAHARU, 26 Feb (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim pada Jumaat mengisytiharkan pelantikan anakanda ketiga baginda, Tunku Idris (gambar), sebagai Tunku Temenggong Johor.

Pengisytiharan itu dilakukan Sultan Ibrahim semasa bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.

"Sempena sambutan hari yang mulia ini, pada fikiran saya, adalah molek untuk saya melantik dan menjadikan anakanda Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor," titah baginda di hadapan kerabat diraja, pentadbir negeri dan seluruh rakyat yang hadir.

Berangkat pada sambutan itu, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Idris dan kerabat diraja yang lain.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Abdul Latiff Yusof, barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan, turut hadir.

Sultan Johor Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah dan pengisytiharan anakanda ketiga baginda, Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Baharu hari ini.
 
Tunku Idris, 22, yang berkhidmat dengan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pernah menempa nama dengan mengetuai lintas hormat enam pesawat udara sempena perarakan sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perak pada 2007.

Lintas hormat itu menggunakan helikopter EC120 yang diiringi dua helikopter EC120 lain, sebuah pesawat jenis Socata TB10 dan dua buah pesawat Eagle 150B buatan Malaysia.

Sementara itu, Sultan Johor dalam titah ucapan baginda turut melahirkan rasa kesal baginda dengan sikap "kaki judi" beragama Islam di negeri ini yang tidak mempunyai perasaan malu dengan sanggup melakukan perbuatan syirik untuk mendapatkan kemewahan.

"Ada di kalangan kita yang melakukan pelbagai cara untuk mencari kemewahan hidup di dunia termasuk melakukan perbuatan syirik seperti kaki judi yang sanggup melangkah kubur untuk mendapatkan nombor ekor," titah baginda.

Baginda bertitah arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Agama Islam Johor untuk mengambil tindakan tegas supaya rakyat di negeri ini tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama.

Sultan Ibrahim turut menegur sikap jemaah yang tergesa-gesa meninggalkan masjid sebelum doa habis dibaca.

"Saya masih tidak faham, ada juga jemaah yang tergesa-gesa meninggalkan masjid sebelum doa selesai dibaca. Saya sudah minta Jabatan Agama Islam untuk memendekkan doa kepada Sultan supaya jemaah tidak perlu tunggu lama untuk melakukan urusan masing-masing tetapi masih lagi ada jemaah yang meninggalkan masjid.

"Doa sudah pendek, kalau dipendekkan lagi seolah-olah kita tidak mahu berdoa untuk dapat keberkatan dan hidayah dari Allah," titah baginda.

Sultan Ibrahim dalam pada itu turut mengingatkan pentadbir negeri, pegawai kerajaan dan wakil rakyat supaya menunaikan tanggungjawab dengan amanah, jujur dan ikhlas serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Rakyat juga perlu bertanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah dan mensyukuri nikmat yang dicapai supaya negeri Johor terus membangun dengan maju, titah baginda.

-- BERNAMA

07 Februari 2010

Sultan-sultan Johor Era Moden

- Kosmo, 24 Januari 2010

03 Februari 2010

Bonda Sultan Johor Ziarah Makam Almarhum Sultan Iskandar

BONDA Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Khalsom Abdullah menaburkan bunga dan air mawar di makam Almarhum Sultan Iskandar di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru, semalam. Khalsom tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI), Senai dari London pada jam 11.55 pagi semalam dengan menggunakan pesawat persendirian yang turut diiringi Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dan sepupunya Tengku Shakirinal Shah bersama isteri.

JOHOR BAHARU, 2 Feb (Bernama) -- Hajjah Khalsom Abdullah, bonda kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Selasa menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Hajjah Khalsom, 72, yang diiringi cucunda Tunku Abdul Jalil tiba di Makam Diraja kira-kira 2.30 petang untuk menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat pada 22 Jan lepas.

Terdahulu, bonda Sultan Johor itu tiba dengan pesawat khas Diraja Johor di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai kira-kira 12 tengah hari dari Subang, Selangor. Hajjah Khalsom yang tiba di ibu negara dari London malam semalam.

Sejurus tiba, Hajjah Khalsom dibawa ke Istana Pasir Pelangi di sini untuk santapan tengah hari bersama-sama Sultan Johor.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang kelima pada 23 Jan lepas di Istana Besar, Johor Baharu berikutan kemangkatan ayahanda baginda sehari sebelum itu.

-- BERNAMA

Rangkaian Blog