08 Disember 2015

Iskandar Puteri nama baharu Nusajaya

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Iskandar Puteri sebagai nama baharu pusat pentadbiran negeri, Nusajaya dan mengembalikan nama asal dua daerah berkuat kuasa Januari depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, Sultan Ibrahim juga berkenan supaya nama daerah Ledang dan Kulaijaya dikembalikan kepada asal iaitu Tangkak dan Kulai.

"Iskandar Puteri adalah gabungan nama lama Johor Bahru iaitu Tanjung Puteri dan Kota Iskandar manakala Tangkak adalah nama daerah Ledang sebelum ini, sama seperti Kulai untuk Kulaijaya.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan pertukaran nama itu dan kini dalam proses pewartaan dan dijangka berkuat kuasa Januari nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

05 Disember 2015

Tunku Laksamana Johor mangkat




JOHOR BAHARU, 5 Dis (Bernama) -- Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam ini di Hospital Sultanah Aminah di sini akibat kanser.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik putera Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.


Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang mengumumkan mengenai berita kemangkatan itu berkata jenazah Almarhum akan diiring ke Istana Besar malam ini dan ditempatkan di Bilik Khas Istana Besar.


"Istiadat siram jenazah dan kafan akan dilakukan kira-kira 7 pagi esok dan seterusnya jenazah Almarhum akan disemayam di Bilik Singgahsana Istana Besar," kata beliau dalam sidang akhbar di Bukit Timbalan di sini hari ini.


Abdul Rahim berkata orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir pada pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi esok di Bilik Singgahsana, Istana Besar.


Jenazah Almarhum akan disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini selepas waktu Zohor esok.

-- BERNAMA

Rangkaian Blog