17 Jun 2011

Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2011


Siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2011  akan berlangsung selama empat hari mulai 18 Jun depan, bermula dan berakhir di Muar.

Kembara yang akan merentasi jarak sejauh 797 kilometer meliputi 10 daerah itu akan menggunakan tiga jenis kenderaan, iaitu motosikal berkuasa besar, pacuan empat roda dan bot.

Dalam siri jelajah kali ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, akan disertai isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; kerabat diraja serta 40 ketua-ketua jabatan diiringi 30 motosikal berkuasa besar.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Obet Tawil, berkata sepanjang KMJ 2011, Sultan Ibrahim akan menyertai program amal, gotong-royong dan program bersama rakyat.

“Tuanku akan memberikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, ibu tunggal dan kanak-kanak istimewa.

“Tuanku juga akan singgah di Bandar Tekstil Malaysia, Tangkak, dan Dataran Sungai Rengit, Kota Tinggi yang terkenal dengan makanan laut segar,” katanya.

Selari dengan tema KMJ 2011 “Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Kita Bersama”, 20,000 anak pokok teduhan akan diberikan kepada setiap daerah di negeri ini untuk ditanam.

Katanya, anak pokok itu akan ditanam secara serentak di semua daerah kecuali di Jemaluang, Mersing, yang akan ditanam sendiri oleh Sultan Ibrahim pada hari kedua KMJ.

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog