Halaman

05 Disember 2015

Tunku Laksamana Johor mangkat




JOHOR BAHARU, 5 Dis (Bernama) -- Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam ini di Hospital Sultanah Aminah di sini akibat kanser.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik putera Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.


Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang mengumumkan mengenai berita kemangkatan itu berkata jenazah Almarhum akan diiring ke Istana Besar malam ini dan ditempatkan di Bilik Khas Istana Besar.


"Istiadat siram jenazah dan kafan akan dilakukan kira-kira 7 pagi esok dan seterusnya jenazah Almarhum akan disemayam di Bilik Singgahsana Istana Besar," kata beliau dalam sidang akhbar di Bukit Timbalan di sini hari ini.


Abdul Rahim berkata orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir pada pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi esok di Bilik Singgahsana, Istana Besar.


Jenazah Almarhum akan disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini selepas waktu Zohor esok.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog