Halaman

06 September 2007

Asal Usul Nama Muar

Wujudnya nama sesuatu tempat bergantung kepada beberapa sebab. Adanyang berpunca daripada kepercayaan atau cerita-cerita lisan (Kampung Batu Badak). Ada yang berasal daripada alam semulajadi seperti keadaan sekitar (Kukup), haiwan (Rengit) atau tumbuh-tumbuhan (Gunung Pulai) dan ada mengambil sempena nama tokoh-tokoh tempatan (Tenang). Sesetengah nama tempat pula lahir daripada peristiwa yang berlaku di tempat itu (Gelang Patah). Suatu hal yang menarik ialah perubahan yang berlaku kepada sebutan nama sesuatu tempat itu. Ada kalanya ia merupakan singkatan kata, pengubahan bunyi atau kepilatan sebutan.

Muar lahir daripada perkataan ‘muara' iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar.


Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan ‘muak' (jemu dan ‘mu-aru' (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.


Terdapat juga sebuah bukit tidak jauh dari Muar di sebelah selatan kawasan tanah lapang ( Padang ) dinamakan Bukit Muar (Bukit Mor).


Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887. Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja, permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani Fatimah.

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog