Halaman

22 September 2007

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor Pertama

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad (1838- 3 Julai 1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama. Sultan Abu Bakar Temenggung Daeng Ibrahim telah melantiknya menjadi Menteri Besar pada tahun 1882.

Keturunan

Beliau dilahirkan dalam tahun 1838 di Teluk Belanga, Singapura. Beliau adalah berketurunan Bendahara Paduka Raja Johor dan Bendahara Kerajaan Melaka. Datuknya, Dato’ Abdul Jabar, mempunyai isteri seramal 20 orang. Hanya keturunan cucu Dato’Abdul Jabar iaitu, Dato’ Haji Mohamad bin Tahir yang dapat bertahan di Riau-Lingga.

Dua orang anaknya iaitu Abdullah dan Haji Muhammad, telah mengikut Temenggung Abdul Rahman, penguasa Johor dan Singapura, berhijrah ke Singapura pada awal kurun ke-19. Pengasasan kerajaaan Jahar moden daripada keturunan Temenggung Abdul Rahman itu kemudian telah secara langsung mementingkan keturunan Dato’ Haji Mohamad Tahir sebagai Menteri Besar Johar, bermula dengan Abdullah sebagai Menteri Temenggung Ibrahim dan kemudian diikuti pula dengan anak Haji Muhammad, iaitu Dato’ Jaafar sebagai Menteri Besar semasa di bawah pemerintahan Sultan Aba Bakar.

Di sebelah datuk perempuannya pula, Dato’ Jaafar berketurunan daripada Orang Kaya Semantan, iaitu seorang pembesar daerah Pahang yang penting. Pahang yang merupakan sebahagian daripada negeri taklukan Melaka, merupakan salah sebuah daerah pelarian pembesar pembesar Melayu selepas Melaka dikalahkan oleh Portugis.

Dengan itu, hubungan politik dan persaudaraan itu dikekalkan melalui perkahwinan anak-anak pembesarnya. Che’ Buruk, anak Orang Kaya Semantan telah mendapat seorang cucu iaitu Che’ Ana. Kemudian, Che’ Ana telah dikahwinkan dengan Haji Muhammad. Mereka mendapat beberapa orang cahaya mata dan salah seorang daripadanya ialah Dato’ Jaafar, Menteri Besar Johor.

Kehidupan Awal

Beliau mendapat pendidikan Melayu di Sekolah Melayu Telok Belanga. Kehidupan keluarganya agak susah; ayahnya Haji Muhammad, seorang penenun kain. Untuk menampung kehidupannya, Dato’ Ja’afar menjaja kuih, sebelum diterima bekerja sebagai kerani di pejabat Temenggung Ibrahim di Telok Belanga, Singapura pada tahun 1854.

Atas kesungguhannya bekerja, Dato’ Ja’afar dilantik menggantikan bapa saudaranya, Abdullah sebagai Penasihat dan Setiausaha Negeri Johor di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar, pada tahun 1860-an.

Kerjaya

Kemunculan Dato' Ja’afar sebagai orang penting dalam sejarah Johor bermula dengan perlantikan bapa saudaranya, Encik Abdullah bin Tok Muhammad Tahir sebagai ‘menteri’ kepada Temenggung Daing Ibrahim (1810— 1862).

Dato' Ja’afar mulai berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor ketika berumur 16 tahun, sebagai Pelatih Kerani di Pejabat Menteri kepada Temenggung Ibrahim. Dalam tahun 1856 beliau telah dilantik sebagai Kerani Besar di Pejabat Menteri. Kemudian beliau dilantik sebagai Penasihat dan Setiausaha Negeri Johor menggantikan bapa saudaranya Encik Abdullah, di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar, pada tahun 1860-an.

Semasa dilantik ke jawatan itu, beliau telah banyak melakukan perubahan dalam pentadbiran Negeri Johor. Antaranya pada 1868, Majlis Mesyuarat Negeri Johor ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1873, pelbagai jabatan diwujudkan, antaranya Jabatan Perbendaharaan & Pesuruhjaya Polis.

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Dato' Bentara yang setara jawatannya dengan Menteri Besar kini. Kemudiannya beliau terus memangku jawatan Dato' Menteri sehingga tahun 1882, dan kemudian terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor oleh Maharaja Abu Bakar.

Perlantikan Dato' Jaafar bin haji Muhammad sebagai Menteri Besar ini adalah merupakan peristiwa bersejarah bagi negeri Johor, kerana inilah julung-julung kalinya seorang Menteri Besar dilantik dalam pentadbiran kerajaan Johor.

Beliau adalah pengiring Maharaja Abu Bakar dalam lawatan pertamanya ke Eropah pada tahun 1866. Ketika memegang tugas sebagai Menteri Besar, beliau pernah memangku tugas Sultan Johor untuk menjalankan pentadbiran negeri, ketika baginda keluar negeri. Pada tahun 1904 beliau telah dilantik oleh Sultan sebagai Pemangku Raja.

Tugasnya yang terpenting ialah memimpin negeri serta menjalankan pentadbiran negeri. Beliau adalah seorang yang berani dan bersemangat waja dalam menjalankan tugasnya.

Sumbangan

Semasa beliau menjadi Menteri Besar dari tahun 1882 hingga 1919, semua pegawai British yang berkhidmat di Johor diwajibkan memakai pakaian rasmi kerajaan Johor. Bendera Union Jack, iaitu bendera kerajaan British, tidak boleh dikibarkan lebih tinggi daripada bendera negeri Johor. Di samping itu, semua surat-menyurat mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu.

Di samping terkenal sebagai seorang Pegawai kerajaan yang setia, cekap, bijak, amanah dan berterus terang beliau juga adalah salah seorang tokoh pentadbir Negeri Johor yang menentang cubaan campurtangan Inggeris di Johor pada tahun 1910.

Beliau menjadi Menteri Besar dan penasihat Sultan Ibrahim. Pada tahun 1909, melalui sepucuk surat, Dato’ Ja’afar telah menasihatkan Sultan Ibrahim supaya tidak memasukkan seorang penasihat British ke dalam pentadbiran Johor. Dato’ Ja’afar bimbang dengan kesan campur tangan British dalam pentadhiran Johor. Beliau disokong oleh Dato’ Ab. Rahman Andak, seorang pembesar Johor, yang lebih lantang daripada Dato’ Ja’afar. Walaupun Dato’ Ja’afar gagal menahan keputusan Sultan Ibrahim, namun, beliau telah bersuara menentang kemasukan British ke Johor. Usianya yang lanjut mengetepikan kepentingan beliau di mata Sultan Ibrahim.

Bagi mengenang jasa dan bakti beliau kepada kemajuan negeri Johor, baginda Sultan Abu Bakar telah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) kepada beliau. Beliau juga dikurniakan Darjah Ketiga Bintang St. Michael dan St. George oleh Queen Victoria England.

Keluarga

Beliau berkahwin sebanyak lima kali. Beliau dikurniakan 13 orang cahaya mata bersama-sama isteri-isterinya ;

1. Aishah Ibrahim mendapat cahaya mata, Dato’ Mustapha, Aminah, Fatimah.

2. Maimunah mendapat cahaya mata, Khadijah.

3.Emon Abu Talib mendapat cahaya mata, Dato’ Abdullah, Che Dara.

4. Rugayah Hanum Abdullah mendapat cahaya mata, Aishah, Kamariah, Dato’ Onn, Malik, Azizah, Muhammad, Ahmad, Yahya.

5. Selamah Ambak mendapat cahaya mata, Rugayah.

Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada tahun 3 Julai 1919 dan telah dikebumikan dengan penuh istiadat di Makam Mahmoodiah ,Johor Bahru, Johor.

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog