Halaman

23 Mei 2014

Tahun ini bas pula

(Harian Metro, 23 Mei 2014)

Johor Bahru: Selepas bermotosikal dan menaiki kereta api, Kembara Mahkota Johor (KMJ) kali ke-17 pada tahun ini menampilkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat mencemar duli bertemu rakyat dengan menggunakan bas khas.

KMJ selama empat hari dijangka bermula dari 21 hingga 24 Jun depan, Sultan Ibrahim akan memandu sendiri dengan bas yang dibeli dari Amerika Syarikat, jenama Prevost Marathon Coach.

Lebih unik, baginda akan memandu bas keluaran syarikat dari Kanada yang menggunakan kaedah pemanduan sebelah kiri.

"Saya akan pandu sendiri, tidak ada masalah mengenainya kerana saya ada lesen memandu," titahnya ketika temubual eksklusif bersama The New Straits Times Press (M) Berhad di Istana Pasir Pelangi di sini, semalam.

Menurutnya, bas ditempah khas itu lengkap dengan peralatan dan kemudahan termasuk tempat tidur dan baginda tidak perlu bermalam di rumah rakyat seperti KMJ sebelum ini.

Katanya, baginda tidak mempunyai masalah bermalam di rumah rakyat dikunjunginya, namun keadaan itu menyebabkan mereka menjadi serba salah.

"Untuk tidak menyusahkan sesiapa, saya gunakan bas pada tahun ini dan akan tidur di dalamnya di tempat yang akan disinggahi nanti.

"Saya akui pastinya bas ini akan menjadi tumpuan rakyat di tempat kami singgah nanti. Saya juga berpeluang berbual dan minum bersama rakyat, walaupun bermalam dalam bas," titahnya.

Menurutnya, untuk masuk ke kawasan kampung tidak menjadi masalah kerana baginda akan menunggang motosikal 'pocket bike' yang dibawanya sepanjang kembara itu.

Baginda bertitah, bas yang ada sekarang adalah untuk kegunaan keluarga, manakala dua bas lagi akan tiba dalam masa terdekat yang dikhususkan untuk baginda dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail.

Mengenai KMJ tahun ini, baginda bertitah, edisi tahun ini bertemakan 'kesihatan' dalam acara sukan dan makanan disajikan di lokasi yang akan dikunjungi.

Menurutnya, baginda juga akan mengagihkan aiskrim secara percuma kepada kanak-kanak di mana sebuah kenderaan khas membawa aiskrim turut mengikut KMJ kali ini.

"Saya terfikir idea ini apabila melihatnya ketika berada di luar negeri, saya bawa untuk rakyat negeri ini pula," titahnya.

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog