11 Ogos 2012

Sultan Johor Ditabal 05 Mei 2014


JOHOR BAHRU: Istiadat Pertabalan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor kelima akan dilakukan pada 2014 selepas kerja mengubah suai istana selesai dilaksanakan.

Sultan Ibrahim bertitah, tarikh pertabalan sebelum ini dijangka dilakukan tahun depan, namun ia terpaksa dilanjutkan berikutan Istana Bukit Serene, Istana Garden dan Istana Besar masih dalam kerja pengubahsuaian.

Kerja ubah suai dijangka siap sepenuhnya pada 2014 dan tarikh pertabalan akan diadakan pada 5 Mei tahun itu.

Tarikh yang dipilih sesuai kerana saya akan ditabal sebagai Sultan Johor kelima.

“Saya memberi masa kepada kerajaan untuk memastikan istiadat pertabalan itu kelak bersejarah dan dibuat dengan penuh istiadat bagi diingati rakyat. Istiadat pertabalan dilakukan pada 10 Februari 1960 ketika Almarhum nenda baginda, Sultan Ismail Ibrahim. Selepas 52 tahun istiadat pertabalan akan diadakan semula,” titah baginda di sini, semalam.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima kunjungan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Syed Nadzri Syed Harun, Pengarang Foto Kumpulan NSTP, Kamaruddin Ahmad dan Pengarang Foto NST, Zahari Zakaria di Istana Pelangi di sini, semalam.

Baginda bertitah, ketika istiadat pertabalan itu, semua Raja dan Sultan negara ini akan dijemput termasuk Sultan Brunei bagi bersama-sama menyerikan istiadat berkenaan. Dalam perkembangan lain, baginda bertitah majlis rumah terbuka Aidilfitri baginda akan diadakan pada hari raya kedua di Istana Pasir Pelangi.

Baginda juga akan mengadakan penjelajahan sekitar Johor pada November ini bagi membantu membaiki rumah golongan kurang mampu dan golongan miskin.

“Tahun ini sebanyak 30 rumah golongan kurang mampu akan dibaiki dan dibina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/09

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog