21 Julai 2012

Uniknya Berdagang Dalam & Luar

“...pahlawan Melayu gagah berdastar,
melangkah ke gelanggang penuh harapan,
dagang dalam dagang luar,
tak kira mana tetap menawan...”


DEMIKIANLAH bunyi pantun yang menceritakan betapa menawan dan tampannya apabila si jejaka berbaju Melayu dan dipadankan sama ada dengan samping dagang dalam atau dagang luar.

Baju Melayu bukanlah fesyen terbaru dan umum menerima bahawa untuk lelaki, fesyennya ialah Cekak Musang. Fasyen ini juga diterima-pakai sebagai pakaian rasmi untuk majlis yang membabitkan istana dan kerajaan.

Johor, bagaimanapun mempunyai kelebihan dengan fasyen baju Melayu Teluk Belanga. Dan menambah seri kepada kelebihan ini ialah cara pemakaian sampingnya sama ada dagang luar atau dagang dalam.

Menurut Dato’ Ayub Mion, Penasihat Pembangunan Negeri Johor, cara pemakaian samping sedemikian dipercayai dipelopori pada zamam pemerintahan Sultan Abu Bakar.

“Sejak itu sehinggalah ke era pemerintahan Almarhum Sultan Ismail, pemakaian samping dagang luar dikhususkan pada kerabat raja dan golongan bangsawan.

“Bagi orang kebanyakan pula, jika mereka ingin memakai samping, ianya mestilah dagang dalam,” jelasnya.

Ayub yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri kerap dirujuk.

Beliau berkata pada 1981, Sultan Iskandar menitahkan bahawa tidak harus ada perbezaan mengenai cara pemakaian samping untuk dipadankan dengan baju Melayu Teluk Belanga dengan samping dagang luar boleh dipakai oleh sesiapa sahaja.

Jadi, apa itu dagang luar dagang dalam?

Perbezaan antara bersamping dagang dalam atau dagang luar adalah daripada segi letak kain sampingnya sahaja.

Ayub menjelaskan, apabila seseorang itu memakai samping dagang dalam, kain sampingnya akan dipakai di bawah baju.

“Apabila kita menyebut samping dagang luar pula, ia bermaksud kain samping berada di atas baju yang dipakai,” katanya.

Mengenai cara mengikat kain samping, Ayub berkata ianya sama untuk keduaduanya iaitu dengan cara melipat sisi kiridan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat).

“Bahagian kanan samping berada di atas. Bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang atau bengkong.

“Kepala kain pula diletakkan di sebelah belakang,” jelasnya.

Dato’ Ayub juga berkata pemakaian samping dagang dalam yang dipadankan dengan jaket ala-Nehru amat popular di negeri ini.


“Fesyen ini dikenali sebagai baju kehormat yang kerap dipakai oleh Menteri Besar dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Bagi yang kerap berada di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan pada hari Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bermesyuarat, pasti pernah melihat mereka memakai pakaian begini,” katanya.

Fesyen ini, kata Ayub dengan penuh bangga sambil menggayakan baju kehormat itu, hanya dapat dilihat di Johor sahaja.

Menurutnya songkok tinggi empat inci pula kerap dipakai untuk melengkapkan penampilan sang jejaka sama ada berbaju Melayu Teluk Belanga atau baju kehormat dengan samping dagang dalam atau dagang luar.

Warisan yang perlu disemarakkan

Pemakaian baju Melayu Teluk Belanga yang lengkap bersamping dagang luar atau dagang dalam masih lagi relevan di tengah-tengah arus kepesatan dunia fasyen.

Menurut Ayub tidak menjadi satu kejanggalan atau pelik apabila seseorang itu memakai busana tradisi ini kerana, Kesultanan Johor serta Kerajaan Negeri mengiktiraf pemakaiannya terutama dalam majlis-majlis rasmi.

“Berpakaian begini mencerminkan budaya bangsa yang terpelihara di samping ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri kesopanan timur.

“Pemakaiannya masih lagi praktikal dengan adanya perubahan-perubahan yang dilakukan seperti potogan asal ala-seluar Cina yang bercerut digantikan dengan seluar yang berzip yang lebih mudah dan selesa,” katanya.


Ayub juga berkata jenis fabrik juga telah dipelbagaikan termasuklah penggunaan sutera, kain benang emas, kain serta tenunan Bugis, kain Samarinda, belacu, baldu, kain cindai, serasah dan kain dewangga.

“Keasliannya masih lagi terpelihara cuma fabrik baju Melayu sekarang mengikut peredaran zaman maka tentulah lebih cantik, menarik dan selesa,” katanya.

Menurutnya apa penting sekarang ialah menyambung tradisi dan warisan pemakaian busana tradisi ini.

“Pemakaian busana yang lengkap perludisemarakkan dan bukan terhad di kalangan pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri sahaja.

“Golongan remaja pula seharusnya mempunyai kesedaran untuk memelihara warisan bangsa ini dengan menjadikan pemilikan sekurang-kurangnya sepasang baju Melayu yang lengkap dengan kain sampingnya dan memakainya sekerap mungkin umpama satu kemestian,” katanya.

Ayub juga menyarankan agar pengeluaran kain samping dibuat secara besar-besaran dengan berorientasikan pasaran supaya harganya tidak terlalu tinggi sehingga membebankan. 

“Harga yang terlalu tinggi sebenarnya menjadi halangan kepada anak-anak muda untuk membelinya dan sebagai jalan keluar mudah, ramai antara merekat hanya berbaju Melayu tanpa mengenakan samping.

“Saya amat berharaplah kalau harga samping songket lebih menarik kerana ia akan menimbulkan minat orang ramai untuk memilikinya sekaligus dapat berpakaian baju Melayu lengkap bersamping seperti yang menjadi tradisi Johor selama ini,”tegasnya.


* Dipetik dari HOLISTIK BIL 001

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog