Halaman

14 Mei 2012

KMJ 2012 - Hari Kedua - 14 Mei 2012

 
 
 


Sultan Johor: Jangan sesekali berpecah belah
Wartawan Sinar Harian
15 Mei 2012 
 Baginda beramah mesra dengan penduduk Kluang
KLUANG - “Terus bersatu padu untuk negeri Johor dan negara serta jangan sesekali berpecah belah.”

Demikian titah Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, secara ringkas sebagai pesanan kepada masyarakat ketika keberangkatan pulang baginda tuanku selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam.

Sebelum itu, Konvoi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 tiba di dewan tersebut kira-kira jam 10 pagi dan disambut dengan tarian persembahan tradisional masyarakat berbilang kaum.

Baginda tuanku sempat menjalankan aktiviti mencanting batik yang bercorakkan logo KMJ 2012, menulis kaligrafi dan menanam pokok, selain turut menikmati hidangan tradisi masyarakat Johor iaitu Lontong Darat.

Sultan Ibrahim bersama rombongan KMJ 2012 kemudian berkonvoi ke Ladang Integrasi Md Judyar Malik yang terletak di Parit Haji Hassan, Simpang Renggam, yang pernah memenangi anugerah Peladang Jaya Kebangsaan 1987.

Konvoi baginda tuanku tiba di ladang berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi dan kemudiannya berkenan untuk melawat di gerai pameran, ladang betik, pusat ternakan ikan air tawar dan ternakan kambing biri-biri, sebelum menghadiri majlis santapan makan tengah hari bersama rakyat.

Turut serta dalam KMJ tersebut ialah, Tunku Mahkota Johor, Tuanku Ismail dan Tunku Temenggong, Tunku Idris.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kluang, Abdul Karim Abu Bakar, dalam ucapannya menjunjung kasih di atas kesudian baginda tuanku dan rombongan diraja berkenaan melawat ladang itu.

“Ladang Integrasi Md Judyar Malik di Parit Haji Hassan ini adalah antara produk kebanggaan daerah ini kerana berjaya menghasilkan produk pertanian dan hasil ternakan berkualiti tinggi yang mendapat permintaan dari dalam dan luar negara.

“Ladang ini berupaya mengeluarkan sehingga 500,000 ikan air tawar termasuk keli, patin dan baung setiap bulan yang dipasarkan sehingga ke Singapura serta Batam, Indonesia selain dalam negara,” katanya.

Selain itu, Abdul Karim berkata, dianggarkan lebih 13,000 penduduk Kluang menyambut ketibaan rombongan KMJ 2012 di dua lokasi daerah ini.

Dengan jumlah kehadiran itu katanya, ia jelas menunjukkan bahawa rakyat Kluang menanti-nanti kedatangan baginda tuanku.
 

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog