Halaman

09 September 2011

Sultan Johor lancar buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor Selasa depan



JOHOR BAHARU, 8 September 2011 : Sultan Johor, Sultan Ibrahim akan melancarkan buku 'Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor' Selasa depan (13 September 2011) yang memaparkan adat istiadat Kesultanan Johor.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata buku terbitan Penerbit UTM Press itu ditulis oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli yang juga Karyawan Tamu UTM.

"Buku ini membolehkan pembaca dan masyarakat khususnya penuntut untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai asal usul adat istana Johor yang sememangnya terkenal dengan ciri-ciri kebudayaan yang unik," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Zaini berkata, buku setebal 295 muka surat dan dijual pada harga RM180 itu mengambil masa setahun untuk disiapkan, termasuk kerja-kerja mengumpul bahan, suntingan dan cetakan.

Beliau berkata, buku tersebut mengandungi beberapa aspek evolusi sejarah dan kebudayaan ikon Johor termasuk pakaian Teluk Belanga, Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Lagu Bangsa Johor dan Mahkota Kerajaan.

Katanya, buku itu turut melatari kemajuan ekonomi Johor yang bermula dengan pertanian lada hitam dan gambir yang menjadi rebutan pedagang antarabangsa sehingga Almarhum Sultan Abu Bakar mengabadikan kedua-dua hasil pertanian tersebut sebagai simbol kemajuan Johor di semua peralatan istiadat istana, persuratan dan dokumen.

Abdul Rahim yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Johor, pula berkata, idea penulisan buku berkenaan tercetus atas kesedaran bahawa belum ada penulisan lengkap terhadap perlakuan dalam istiadat diraja.

Beliau berkata, buku berkenaan diharap dapat dijadikan panduan khasnya kepada Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor yang secara tradisi mengendalikan istiadat diraja mahupun majlis rasmi kerajaan.

Dalam pada itu, Zaini berkata, pada hari sama, Sultan Johor turut dijangka berkenan merasmikan bangunan Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM dan melancarkan minyak wangi S1 dan S2 yang direka khas untuk baginda.

Katanya, minyak wangi itu dihasilkan melalui pelbagai proses oleh penyelidik di IBD berkenaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog