Halaman

16 September 2011

Buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor


SKUDAI - Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melancarkan buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

Dalam titahnya, baginda tuanku merakamkan rasa sukacita apabila buku yang memberi gambaran terperinci terhadap adat istiadat dan budaya istana Johor dapat dihasilkan tepat pada masanya.

"Penerbitan buku yang memberi gambaran terperinci terhadap adat istiadat dan budaya Istana Johor dari Zaman Temenggong hingga kini adalah sesuatu yang dinantikan sama ada di kalangan rakyat Johor, pengkaji sejarah, ahli akademik dan rakyat Malaysia.

"Sebahagian besar rakyat Johor mungkin tidak berpeluang menyaksikan perlakuan istiadat dalam istana. Justeru, buku ini membolehkan rakyat Johor mengetahui adat resam yang membentuk budaya Johor yang unik tetapi moden,” titah tuanku dalam majlis pelancaran Buku Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor, Minyak Wangi Diraja dan perasmian Bangunan IDB.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang.

Baginda tuanku bertitah, evolusi sejarah dan kebudayaan ikon Johor seperti pakaian Telok Belanga, Askar Timbalan Setia Negeri, Lagu Bangsa Johor dan Mahkota Kerajaan amat perlu diketahui serta disebarkan dengan luas kepada rakyat Johor bagi membina jati diri dan tata susila.

Buku tersebut ditulis oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berpengalaman luas dalam istiadat Istana Johor kerana telah berkhidmat dengan kerajaan dan Istana Johor selama 40 tahun.

Sementara itu, Abdul Rahim dalam ucapannya berkata, beliau cuba menerangkan kepada pembaca beberapa kemusykilan dan persoalan yang sering timbul berkenaan adat diraja Johor supaya pembaca lebih mengetahui situasi sebenar.

"Misalnya, mengapa rakyat Johor tidak mengangkat sembah apabila menghadap raja, mengapa raja Johor berpakaian cara Bugis, mengapa pakaian istiadat raja Johor mirip pakaian barat dan sebagainya.

"Buku ini menghuraikan asal usul ikon Johor yang dipelopori oleh Sultan Abu Bakar seperti pakaian Telok Belanga dan peranan sumber asli yang menjadikan Johor negeri terkaya dalam zaman Temenggong iaitu getah taban, lada hitam dan gambir.

“Saya juga cuba mengingatkan jasa Sultan Abu Bakar dalam mengharumkan nama Johor yang sentiasa mendahului negeri lain dengan mengilhamkan sebuah mahkota sebagai tindakan berani mengubah pakaian tradisi raja-raja Melayu dan mencipta Undang-Undang Tubuh kerajaan tahun 1895,” katanya.

Beliau menegaskan menerusi pengetahuan sejarah itu, semua pihak diharap dapat menambah kesedaran terhadap perjuangan tokoh-tokoh yang telah membangunkan Johor dan mengukuhkan kesetiaan kepada raja dan negeri bagi mengekalkan kedaulatan Johor. 

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog