Sempena Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

16 Januari 2012

Waris 'Raja Bali' (Harian Metro 14 Januari 2012)

KUANTAN: Sejak kecil, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sering mendengar cerita pengasuhnya yang dipanggil ‘granny’ bahawa mereka mempunyai pertalian darah dengan ‘Raja Bali’, Mads Johansen Lange, tetapi ketika itu beliau tidak pernah tahu kebenaran dan kesahihannya.

Justeru, beliau sering tertanya-tanya siapa lelaki warga Denmark dikenali sebagai Dr Anderson yang pasti ada setiap kali acara sambutan ulang tahun kelahiran bekas Sultan Johor yang juga Almarhum nendanya, Sultan Ismail.

Hasil risikan sendiri serta dibantu penerangan ‘granny’, Tunku Azizah akhirnya sedar Sultan Ismail mempunyai darah keturunan Denmark dan mereka keturunan pedagang terkemuka Denmark, Mads Johansen Lange yang turut di kenali sebagai ‘Raja Bali’ selepas terbabit dalam perbincangan mencari jalan penyelesaian kepada pertelingkahan yang berlaku antara pemerintah Bali dan Belanda sekitar 1840-an.

Berdasarkan catatan sejarah, Lange belayar ke kepulauan Indonesia itu dan menetap di Pulau Bali serta mempunyai hubungan baik dengan pemerintah kepulauan itu. Atas dasar itu beliau memainkan peranan besar dalam perjanjian keamanan membabitkan Belanda dan pemerintah Bali.

Lange mempunyai tiga anak iaitu William Peter yang lahir pada 1843, Andreas Emil (1850) dan Cecilia Catharina (1848). Ketiga-tiga anaknya itu bersekolah di Singapura, tetapi William meninggal dunia ketika berusia 12 tahun.

Andreas berkahwin dengan seorang wanita dari Malaysia dan mempunyai beberapa anak manakala Cecilia menjadi anak angkat sebuah keluarga Inggeris selepas Lange meninggal dunia pada 1856.

Tunku Azizah berkata, Cecilia secara tidak sengaja bertemu moyangnya, Almarhum Sultan Abu Bakar dan kedua-duanya saling jatuh hati sebelum bernikah.

“Apabila Sultan Abu Bakar bergelar Sultan Johor pada 1885, Cecilia dikenali sebagai ‘Cik Besar Zabedah’ dan bermulalah pertalian darah antara saya dengan keturunan Lange,” katanya.

Tunku Azizah mengaku sebelum ini, ada antara saudara-maranya dari keturunan Lange bertemu secara tidak sengaja, tetapi sejak memiliki akaun facebook urusan menemui keluarga besarnya itu menjadi semakin mudah.

“Saya berpeluang menemui lebih ramai saudara-mara termasuk Jens Olesen di Brazil," kata Tunku Azizah ketika majlis perhimpunan ‘Keluarga Lange’ di Istana Abdulaziz, malam kelmarin.

Pada majlis itu, kira-kira 100 waris keturunan Lange berkumpul dan dari situ, Tunku Azizah melahirkan rasa gembiranya serta bercadang mengadakan majlis serupa pada setiap tahun.

Sementara itu, Olesen, 68, berkata, beliau menubuhkan Persatuan Keluarga Mads Lange pada 2007 dan ketika ini, persatuan itu menarik lebih 200 ahli di 14 negara.

“Saya mula menghubungi saudara-mara berketurunan Lange sejak 2000 dan hingga kini, hampir 90 peratus ditemui,” katanya yang juga Duta Norway di Brazil.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Sybil Lange, 101, yang juga cucu kepada Andreas dan kini menetap di Kuala Lumpur bersama anak lelakinya.

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog