Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 2 Okt. - Suatu ketika dahulu, minuman itu hanyalah untuk hidangan kerabat diraja Johor. Ia dijadikan sebagai minuman 'selamat datang' kepada tetamu yang berkunjung ke Istana Besar Johor semasa zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar Temenggung Daeng Ibrahim pada tahun 1833 hingga 1895.
Namun kini, minuman herba, Beyh Royale bukan sahaja menjadi penghilang dahaga golongan diraja, malah menjadi pilihan golongan korporat dan masyarakat umum.
Pengarah Urusan Pelangi Tebrau Marketing @ Distributions, Khurshiah Haron, 42, berkata, beliau memulakan perniagaan tersebut sejak lima tahun lalu.
"Semuanya bermula pada 2004 apabila ibu saya memberi cadangan supaya mengkomersialkan minuman ini.
"Setelah meneliti dengan lebih lanjut berkenaan dengan pasaran dan sasaran pengguna, saya dan suami, Husnul Hadi Md. Noh, 44, nekad untuk menyahut cabaran itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, produk pertama keluarannya, Kordial Beh hanya memasuki pasaran pada tahun 2005 setelah setahun pihaknya menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D).
Setelah produk pertama mendapat sambutan, beliau mengeluarkan produk kedua iaitu Sparkling Beyh.
Bermula dengan menggunakan jenama Beh, beliau akhirnya melakukan penjenamaan semula pada tahun 2005 dengan menggunakan jenama Beyh supaya ia dilihat lebih komersial dan berdaya saing.
Ditanya resipi minuman Beyh, Khurshiah berkata, resipi asalnya adalah daripada Al-Marhumah Sultanah Khatijah Hanim iaitu adinda Sultan Abu Bakar.
Ia kemudian diperturunkan kepada adindanya, Datin Roquaiya Hanim dan kemudiannya kepada Datin Salamah Ambak, kedua-duanya isteri kepada Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Jaafar Muhammad.
"Resipi tersebut kemudiannya 'dianugerahkan' kepada Rahmah Abdul Rahim atau Endau iaitu ibu saya yang ketika itu berusia 14 tahun," katanya.
Katanya, Beyh Royale dibuat menggunakan teknik pemeraman dengan himpunan herba dan rempah harum yang terdapat di negeri Johor.
Minuman berkenaan menggunakan herba terpilih seperti kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih, bunga lawang, limau purut dan daun pandan.
Kini, Khurshiah mampu tersenyum lebar apabila perusahaannya yang dahulu hanya dilakukan di rumahnya kini mempunyai sebuah kilang di Sri Alam, Masai, dekat sini.
Menurutnya, Beyh Royale adalah perjuangannya kerana produk tersebut menghimpunkan pelbagai kisah suka dan duka seorang anak, wanita, isteri dan ibu.
"Saya tidak bermula dengan mudah. Sebelum melakukan perusahaan ini, pelbagai pekerjaan pernah saya lakukan dan pelbagai dugaan saya hadapi.
"Jatuh bangun adalah asam garam kehidupan saya. Biarpun begitu, saya tidak pernah menyesal kerana percaya itu adalah rezeki saya," katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia, 03 Okt 2009
Galeri Kesang dibuka kepada orang ramai
-
TANGKAK 13 Sept. – Sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini dan Hari
Malaysia minggu depan mencatat sejarah baharu kepada penduduk Mukim Kesang
di sini apab...
7 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan