Halaman

Memaparkan catatan dengan label Budaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Budaya. Papar semua catatan

11 Mac 2014

Buku Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855–2012


Tajuk Buku : Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855–2012
Pengarang: Dato' Abdul Rahim Ramli 
Tahun : 2013
              ISBN 978-983-52-0916-1
              395 muka surat
Harga : RM 180.00
Penerbit : Penerbit UTM Press

SINOPSIS

Johor Moden diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim dalam tahun 1855, iaitu bermula dengan penyerahan kerajaan dan negeri Johor oleh Sultan Ali, dan diperkukuhkan oleh Sultan Abu Bakar dengan pelbagai inisiatif yang menerapkan elemen inovasi Barat. Inisiatif elemen inovasi yang diterapkan merentas sistem pentadbiran, pelajaran, pertahanan, pengangkutan, seni bina, cara berpakaian dan perlakuan budaya istana. Kesan inisiatif inovasi ini bukan setakat berlaku pembaharuan, bahkan menjadikan negeri Johor unik dan pertama melakukannya yang mendahului negeri–negeri lain. Inovasi yang amat menyerlah dan memberi impak besar ialah termaktubnya Undang–undang Tubuh Kerajaan yang kandungannya sarat dengan peraturan perajaan. Undang–undang Tubuh Kerajaan Johor ini dicipta dengan tujuan menentukan ketuanan negeri Johor kekal berada dalam kuasa dan jalur zuriat Temenggong.

Inovasi Sultan Abu Bakar yang ditanggap amat bijak dan berani ke arah membawa perubahan dalam tradisi warisan Raja–raja Melayu ialah mencipta sebuah mahkota, regalia dan darjah kebesaran. Penciptaan ini sekali gus memartabatkan kedaulatan Baginda dan waris takhta negeri Johor.

Pembaharuan lain yang dicipta oleh Sultan Abu Bakar adalah pengiktirafan antarabangsa berkaitan gelaran Baginda sebagai Sultan Johor. Pengiktirafan ini menempatkan Baginda sama taraf dengan Raja–raja Melayu. Pengiktirafan ini juga sekali gus menafikan salah tanggap dan tindakan Raja–raja Melayu pada satu ketika yang tidak mengiktiraf Baginda dengan tanggapan Baginda bukan berketurunan darah raja.

Sultan Abu Bakar dan Sultan–sultan Johor selepas Baginda tidak mengetepikan, bahkan menambah baik dan memperkayakan adat resam dan budaya istana untuk dijadikan khazanah dan kesinambungan warisan rakyat.

Budaya istana adalah adunan budaya Melayu dengan budaya Barat, dan diperkukuhkan dengan ajaran dan kefahaman agama Islam. Pengadunan budaya ini dapat dilihat dengan jelas dalam adat istiadat kemahkotaan, sambutan ulang tahun hari keputeraan dan lain–lain istiadat diraja.

Berbekalkan kelebihan ini membolehkan Sultan Abu Bakar membentengi dan mempertahankan kemerdekaan Johor selama 33 tahun berturut–turut daripada serangan bertubi–tubi British untuk menakluki Johor. Kebijaksanaan Baginda ditandai dengan gelaran “Bapa Johor Moden”.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memperbaiki dan memperkayakan budaya istana dengan meringkaskan cara memberi hormat takzim, mengetepikan warna larangan, dan memperkenankan pakaian kebangsaan bagi memberi keselesaan kepada dif perempuan. Baginda menghidupkan gelaran diraja yang pernah digunakan pada zaman dahulu di negeri Johor, seperti Laksamana, Panglima dan Putera serta mengadakan bendera bagi penyandang gelaran tersebut.

KANDUNGAN

Titah Pengantar Prakata Pendahuluan
Bahagian Pertama
Bab 1 – Institusi Raja Johor
Bab 2 – Pelantikan Waris
Bab 3 – Sejarah Pelantikan Tunku Mahkota Johor
Bab 4 – Istiadat Pemasyhuran DYAM Tunku Ibrahim Ismail Sebagai Tunku Mahkota Johor
Bab 5 – Istiadat Pemasyhuran DYAM Tunku Ismail Sebagai Tunku Mahkota Johor 
Bab 6 – Pangkuan Raja
Bab 7 – Istiadat Pelantikan Raja

Bahagian Kedua
Bab 8 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor
Bab 9 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Abu Bakar
Bab 10 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim
Bab 11 – Istiadat Kemahkotaan Sultan Ismail

Bahagian Ketiga
Bab 12 – Istiadat Perkahwinan Diraja
Bab 13 – Istiadat Keputeraan Diraja

Bahagian Keempat
Bab 14 – Istiadat Pemakaman Diraja
Bab 15 – Pelaksanaan Istiadat Pemakaman Diraja
Bab 16 – Istiadat Pemakaman Sultan Abu Bakar
Bab 17 – Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Ibrahim
Bab 18 – Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Ismail
Bab 19 – Istiadat Pemakaman Almarhum Sultan Iskandar
Bab 20 – Istiadat Pemakaman Almarhumah Sultanah Aminah
Bab 21 – Istiadat Pemakaman Almarhum Tunku Abdul Rahman
Bab 22 – Istiadat Hari Hol

Bahagian Kelima
Bab 23 – Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
Bab 24 – Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Lampiran
Pengumuman Kemangkatan
Senarai Makam Di Makam Diraja Mahmoodiah

Bibliografi
Indeks
 
BIODATA PENULIS 

Abdul Rahim bin Ramli, 72 tahun adalah pesara kerajaan setelah berkhidmat 30 tahun sebagai Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor. Jawatan terakhir yang disandang beliau selama tujuh tahun ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Selain jawatan kerajaan, beliau dilantik oleh Sultan Johor sebagai Pegawai Istiadat Istana bermula dengan jawatan Bentara Kiri, Dato’ Bentara Kanan, dan Dato’ Penghulu Biracana. Pada tahun 1996 Almarhum Sultan Iskandar melantik beliau sebagai Setiausaha Jumaah Majlis Diraja, Dato’ Penghulu Istiadat, dan Menteri Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia. Ketiga–tiga jawatan kekal disandang beliau hingga sekarang.

Pengalaman beliau sebagai pentadbir yang pernah berkhidmat dengan empat orang Menteri Besar dan sebagai Pegawai Istiadat Istana semenjak zaman Almarhum Sultan Ismail mendorong beliau menulis rencana dan buku berkaitan adat istiadat dan protokol istana. Dalam kalangan pegawai kerajaan negeri, pengalaman dan pengetahuan luas ini menjadikan beliau pakar rujuk dalam hal sejarah, protokol dan budaya istana. Selari dengan hal ini, beliau dilantik oleh Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Penasihat Sejarah dan Kebudayaan Istana dalam Jumaah Majlis Diraja. 

Atas jasa khidmatnya beliau dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (S.M.J) pada tahun 1976, dinaikkan ke Pangkat Kedua Dato’ Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J (1978)) dan pada tahun 1986 dinaikkan ke Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J). Beliau juga dikurniakan Darjah Dato’ Setia Sultan Ismail (D.S.I.J) dalam tahun 1980 dan dinaikkan ke Pangkat Pertama Dato’ Sri Setia Sultan Ismail (S.S.I.J) dalam tahun 1982. Selain itu, beliau dikurniakan Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (P.L.P), Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S II), dan Bintang Sultan Ismail (B.S.I).

Pada masa ini beliau berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Tanjong Puteri Golf Resort, dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor. Dalam penulisan, antara karya beliau yang pernah diterbitkan oleh Penerbit UTM Press ialah Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor (2011).

ANUGERAH

Anugerah Perdana (Kategori Buku Warisan Sejarah) - Adat Istihadat Kesultanan Johor Moden 1855 - 2012. (Gambar ihsan Blog Kesultanan Johor)

Penulis buku Adat Istihadat Kesultanan Johor Moden 1855 - 2012, Dato Abdul Rahim Ramli bersama anugerah yang dimenangi di Majlis Anugerah Perdana 2013

10 Mac 2013

Telur Pindang Ikon Muhibbah

Bagi penduduk di luar negeri Johor, telur pindang bukan makanan yang dapat selalu dilihat apatah lagi dinikmati. Namun seiring dengan masa, telur pindang semakin dikenali seluruh masyarakat. Apatah lagi kian ramai pengusaha memasarkannya secara komersil.

Malangnya, apabila ia sudah jadi komersil, ada peniaga bertindak memasukkan bahan asing sehingga mencemarkan resipi asli telur pindang. Sebagaimana kes pisang diadun dalam tempoyak, ada pengusaha telur pindang mencampurkan kulit bawang dan kicap untuk menjadikan warnanya lebih menarik.

Terserah pada orang lain tapi saya tetap berpegang pada resipi turun temurun keluarga. Bagi saya inilah satu-satunya makanan paling unik kerana tidak boleh ditipu.

Sebarang perubahan akan mendatangkan kesan pada tekstur dan rasa,ujar Norliza Abd Raub, 39, yang sudah enam tahun membekal telur pindang untuk majlis perkahwinan dan kedai-kedai di seluruh negara.

Menurut Norliza, telur pindang sememangnya sinonim dengan kehidupan masyarakat Jawa di Johor terutama di Batu Pahat dan Muar. Di tempat kelahirannya, Parit Sidek Semerah, Batu Pahat, telur pindang menjadi makanan wajib yang menyatukan tuan rumah dengan tetamu dan saudara mara yang datang bertandang apabila ada majlis kenduri kendara.

Zaman dahulu, saudara mara akan datang untuk membantu apabila ada majlis kahwin. Biasanya mereka tinggal beberapa hari atau minggu untuk membantu sebelum pulang ke rumah masing-masing. “Ketika mahu pulang mereka akan dibekalkan ‘bontrot’ atau ‘barkat’ iaitu bungkusan makanan sebagai tanda terima kasih. Disebabkan perjalanan mengambil masa kerana tiada jalan raya seperti hari ini, telur pindang menjadi makanan terbaik untuk dibekalkan kerana ia tahan lama dan mengenyangkan, katanya.

Tiga hari dimasak

Menyambung warisan moyang yang sejak dulu berniaga telur pindang di Senggarang, Batu Pahat; Norliza tidak kedekut berkongsi ramuan asas yang menjadi resipi keluarganya.

Ramuan utama terdiri daripada daun jambu batu, manggis, senduduk, serai, halia, lengkuas, garam dan campuran herba.



Selain bahan-bahan yang agak banyak, cabaran terbesar memasak telur pindang adalah isu masa. Bayangkan, telur-telur yang sudah dicampurkan bersama kesemua ramuan mesti berada atas api mendidih sekurang-kurangnya tiga hari tiga malam.

Apa perlu dilakukan dalam tempoh tersebut hanya jenguk isi air dan tambah apabila berkurang sahaja. “Sebab itu jarang dengar orang masak telur pindang setakat sepuluh biji. Memang tak berbaloi, kata Norliza.




Tempoh lama berada di atas api amat perlu untuk memastikan kesemua ramuan sebati dan menyerap baik dengan isi telur. Ia juga penting agar telur pindang tahan lama.

Malah di Johor, menjadi perkara biasa jika telur pindang disimpan antara enam bulan sampai setahun.



Bagaimanapun tegas Norliza, telur pindang agak ‘sensitif’. Selain ramuan dan tempoh masak, rasa dan ketahanan bergantung juga pada aspek kebersihan dan kesegaran telur digunakan. Jika tidak, macam-macam perkara boleh berlaku, antaranya banyak telur pecah, warna tidak sekata, kuning telur tidak berada di tengah-tengah dan rasa rempah tidak enak.

Selain menjadi ikon muhibah masyarakat sejak zaman dahulu, telur pindang unik kerana boleh diregukan dengan apa sahaja makanan selain dimakan begitu sahaja.

Mana ada makanan lain yang bukan sahaja boleh dibuat cenderamata malah boleh dimakan dengan nasi, roti, mi, susyi dan burger? Bagi saya, ia patut diangkat sebagai raja makanan! ujar Norliza.
Dia turut berkongsi kekagumannya bagaimana telur pindang membatasi teknologi kerana tahan lama meskipun tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

Justeru Norliza mengesyorkan agar satu kajian tentang telur pindang dilakukan. Sekiranya benar makanan tradisi masyarakat Jawa ini mempunyai keistimewaan yang mampu mengangkat nama Malaysia, dia menaruh harapan satu hari nanti telur pindang dijadikan satu lagi makanan identiti negara.

(Sumber : Sinar Harian, 10 September 2012)

21 Julai 2012

Uniknya Berdagang Dalam & Luar

“...pahlawan Melayu gagah berdastar,
melangkah ke gelanggang penuh harapan,
dagang dalam dagang luar,
tak kira mana tetap menawan...”


DEMIKIANLAH bunyi pantun yang menceritakan betapa menawan dan tampannya apabila si jejaka berbaju Melayu dan dipadankan sama ada dengan samping dagang dalam atau dagang luar.

Baju Melayu bukanlah fesyen terbaru dan umum menerima bahawa untuk lelaki, fesyennya ialah Cekak Musang. Fasyen ini juga diterima-pakai sebagai pakaian rasmi untuk majlis yang membabitkan istana dan kerajaan.

Johor, bagaimanapun mempunyai kelebihan dengan fasyen baju Melayu Teluk Belanga. Dan menambah seri kepada kelebihan ini ialah cara pemakaian sampingnya sama ada dagang luar atau dagang dalam.

Menurut Dato’ Ayub Mion, Penasihat Pembangunan Negeri Johor, cara pemakaian samping sedemikian dipercayai dipelopori pada zamam pemerintahan Sultan Abu Bakar.

“Sejak itu sehinggalah ke era pemerintahan Almarhum Sultan Ismail, pemakaian samping dagang luar dikhususkan pada kerabat raja dan golongan bangsawan.

“Bagi orang kebanyakan pula, jika mereka ingin memakai samping, ianya mestilah dagang dalam,” jelasnya.

Ayub yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri kerap dirujuk.

Beliau berkata pada 1981, Sultan Iskandar menitahkan bahawa tidak harus ada perbezaan mengenai cara pemakaian samping untuk dipadankan dengan baju Melayu Teluk Belanga dengan samping dagang luar boleh dipakai oleh sesiapa sahaja.

Jadi, apa itu dagang luar dagang dalam?

Perbezaan antara bersamping dagang dalam atau dagang luar adalah daripada segi letak kain sampingnya sahaja.

Ayub menjelaskan, apabila seseorang itu memakai samping dagang dalam, kain sampingnya akan dipakai di bawah baju.

“Apabila kita menyebut samping dagang luar pula, ia bermaksud kain samping berada di atas baju yang dipakai,” katanya.

Mengenai cara mengikat kain samping, Ayub berkata ianya sama untuk keduaduanya iaitu dengan cara melipat sisi kiridan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat).

“Bahagian kanan samping berada di atas. Bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang atau bengkong.

“Kepala kain pula diletakkan di sebelah belakang,” jelasnya.

Dato’ Ayub juga berkata pemakaian samping dagang dalam yang dipadankan dengan jaket ala-Nehru amat popular di negeri ini.


“Fesyen ini dikenali sebagai baju kehormat yang kerap dipakai oleh Menteri Besar dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Bagi yang kerap berada di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan pada hari Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bermesyuarat, pasti pernah melihat mereka memakai pakaian begini,” katanya.

Fesyen ini, kata Ayub dengan penuh bangga sambil menggayakan baju kehormat itu, hanya dapat dilihat di Johor sahaja.

Menurutnya songkok tinggi empat inci pula kerap dipakai untuk melengkapkan penampilan sang jejaka sama ada berbaju Melayu Teluk Belanga atau baju kehormat dengan samping dagang dalam atau dagang luar.

Warisan yang perlu disemarakkan

Pemakaian baju Melayu Teluk Belanga yang lengkap bersamping dagang luar atau dagang dalam masih lagi relevan di tengah-tengah arus kepesatan dunia fasyen.

Menurut Ayub tidak menjadi satu kejanggalan atau pelik apabila seseorang itu memakai busana tradisi ini kerana, Kesultanan Johor serta Kerajaan Negeri mengiktiraf pemakaiannya terutama dalam majlis-majlis rasmi.

“Berpakaian begini mencerminkan budaya bangsa yang terpelihara di samping ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri kesopanan timur.

“Pemakaiannya masih lagi praktikal dengan adanya perubahan-perubahan yang dilakukan seperti potogan asal ala-seluar Cina yang bercerut digantikan dengan seluar yang berzip yang lebih mudah dan selesa,” katanya.


Ayub juga berkata jenis fabrik juga telah dipelbagaikan termasuklah penggunaan sutera, kain benang emas, kain serta tenunan Bugis, kain Samarinda, belacu, baldu, kain cindai, serasah dan kain dewangga.

“Keasliannya masih lagi terpelihara cuma fabrik baju Melayu sekarang mengikut peredaran zaman maka tentulah lebih cantik, menarik dan selesa,” katanya.

Menurutnya apa penting sekarang ialah menyambung tradisi dan warisan pemakaian busana tradisi ini.

“Pemakaian busana yang lengkap perludisemarakkan dan bukan terhad di kalangan pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri sahaja.

“Golongan remaja pula seharusnya mempunyai kesedaran untuk memelihara warisan bangsa ini dengan menjadikan pemilikan sekurang-kurangnya sepasang baju Melayu yang lengkap dengan kain sampingnya dan memakainya sekerap mungkin umpama satu kemestian,” katanya.

Ayub juga menyarankan agar pengeluaran kain samping dibuat secara besar-besaran dengan berorientasikan pasaran supaya harganya tidak terlalu tinggi sehingga membebankan. 

“Harga yang terlalu tinggi sebenarnya menjadi halangan kepada anak-anak muda untuk membelinya dan sebagai jalan keluar mudah, ramai antara merekat hanya berbaju Melayu tanpa mengenakan samping.

“Saya amat berharaplah kalau harga samping songket lebih menarik kerana ia akan menimbulkan minat orang ramai untuk memilikinya sekaligus dapat berpakaian baju Melayu lengkap bersamping seperti yang menjadi tradisi Johor selama ini,”tegasnya.


* Dipetik dari HOLISTIK BIL 001

Rangkaian Blog