Halaman

Memaparkan catatan dengan label Bandar Diraja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bandar Diraja. Papar semua catatan

23 November 2013

Cuti Hujung Minggu Johor Ditukar Kepada Jumaat Dan Sabtu - Sultan Johor


MUAR, 23 Nov (Bernama) -- Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan depan, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda bertitah hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.

"Jika kita perhatikan pada masa kini, orang lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat, waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu untuk berehat dan tidur.

"Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun dan meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat untuk menunggu imam membaca doa. Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Jan 2014," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini Sabtu.

Turut berangkat isteri baginda Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Johor pernah menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu sebelum tahun 1994.

"Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan sejarah juga telah menunjukkan bahawa pengembangan agama Islam di negeri ini menjadi contoh kepada negara lain," titah baginda.

Oleh yang demikian baginda menyeru semua umat Islam di negeri ini supaya menjadikan nilai-nilai murni dan sifat terpuji orang Islam sebagai gaya hidup seharian.

Baginda turut menyarankan Majlis Agama Islam Johor supaya menyediakan pusat sumber ilmu agama secara dalam talian sebagai pusat rujukan kepada semua umat Islam bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang tepat hanya daripada satu sumber yang boleh dipercayai.

Pusat itu juga boleh dijadikan medium untuk masyarakat mengutarakan segala keraguan dan persoalan agar mereka boleh mendapat jawapan serta nasihat mengikut landasan agama Islam dan selari dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor.

Dalam perkembangan lain baginda turut melahirkan rasa syukur kerana Johor terus berada di dalam keadaan aman, damai dan sentosa dan rakyat dapat hidup dengan sejahtera selain menikmati pembangunan ekonomi yang pesat dan seimbang.

"Pembangunan dan kemajuan ekonomi yang kita peroleh sekarang adalah hasil daripada usaha dan kerjasama erat antara pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan persekutuan.

"Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan persekutuan yang sentiasa memberikan bantuan, sokongan dan peruntukan dalam membangunkan kemudahan asas serta infrastruktur am untuk meningkatkan tahap ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini," titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat di negeri ini akan sentiasa berusaha mengekalkan kesejahteraan hidup yang dinikmati sekarang dengan bersikap sederhana dan bersatu hati bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian masyarakat.

-- BERNAMA

22 November 2012

404 disenarai penerima pingat Johor


Johor Bahru: Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai 404 penerima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, hari ini.

Tunku Tun Aminah bersama adindanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar, menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I).

Sempena keputeraan ke-54 tahun ini, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima.

Mereka adalah Pengarah Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Brigadier Jeneral Effendi Ab Karim; Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahman.

Seramai 16 menerima anugerah Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) termasuk Pegawai Kewangan negeri, Marsan Kassim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (II) Pengurusan, Norizan Kulob.

Penerima lain anugerah itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Burhan Amin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Pengarah Unit Perancang Ekonomi Johor, Elias Hasran.

Turut menerima SMJ ialah pegawai daerah di Johor iaitu Ismail Karim (Kota Tinggi), Abdul Karim Abu Bakar (Kluang), Abdul Rahman Mohamed Dewam (Muar), Abdul Wahab Ridwan (Batu Pahat), Muji Salimon (Pontian), Kamarudin Abdullah (Kulaijaya), Amran Abdul Rahman (Johor Bahru), Mohd Nasir Abdul Salam (Mersing), Abdul Rahim Nin (Segamat) dan Ab Han Ramin (Ledang).

Penerima lain SMJ ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Chong Chee Han dan kakitangan Istana Pasir Pelangi, Ali Ismail.

Selain itu, seramai 28 menerima Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 261 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan 91 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III).

Istiadat kurniaan semua darjah dan pingat terbabit dijadualkan berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Muar, mulai jam 8 pagi ini.

08 November 2012

Lebih 100,000 sambut Hari Keputeraan Sultan Johor

ABDUL Rahman Mohamed Dewam (kiri) menyerah sumbangan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli selepas Program Gotong-Royong Perdana di Muar, baru-baru ini.  
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

MUAR 5 Nov. - Lebih 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang akan diraikan selama lima hari lima malam di bandar ini bermula 22 November ini.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, sambutan dimulakan pukul 6 petang pada 21 November dengan majlis tahlil dan doa kesyukuran sempena pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

Beliau berkata, sambutan sebenar bermula pada 22 November bermula pukul 8 pagi dengan pemeriksaan barisan kehormat dan tabik hormat diraja di Jalan Arab sebelum majlis pengurniaan bintang kebesaran serta pingat berlangsung di Dewan Jubli Intan di sini.

"Ini adalah pertama kali majlis pengurniaan bintang kebesaran dan pingat dilakukan di luar dari Istana Besar, Johor Bahru selepas 125 tahun diadakan di situ. Kemudian diikuti jamuan teh bersama rakyat di Stadium Sultan Ibrahim, di sini (3 petang) dan forum perdana di Masjid Jamek Sultan Ibrahim (9 malam).

"Pada 23 November pula, Sultan Johor akan merasmikan Masjid Al-Ikhsan Batu 18, Air Hitam (9 pagi) sebelum berlangsungnya perarakan kereta berhias (9.30 malam)," katanya di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, lebih 20 kereta berhias akan berarak sejauh empat kilometer bermula dari bandar ini sebelum berakhir di Dataran Tanjung Emas dan orang ramai diminta berada di sepanjang jalan itu untuk menyaksikannya.

Pada 24 November pula diadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring di stadium itu serta pertandingan futsal di Pusat Rakan Muda, Tanjung Emas yang bermula serentak (8 pagi) sebelum Majlis Istiadat Sempena Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas (8.30 pagi).

Sambutan diteruskan dengan Cabaran Jet Ski Antarabangsa di pesisiran Sungai Muar (2.30 petang) yang disertai lapan negara, antaranya Singapura, Thailand, Jepun dan Amerika Syarikat sebelum berlangsung Majlis Kurniaan Bungkusan oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah kepada golongan kurang bernasib baik di Dewan Nur, Jalan Junid (3 petang).

Beliau berkata, sambutan pada hari ketiga diakhiri dengan persembahan kebudayaan dan kesenian oleh artis-artis tempatan di stadium dan pada 24 November pula pertandingan jet ski disambung semula (8 pagi).

"Pada masa sama diadakan pertandingan bola sepak, futsal, bola jaring (8 pagi) sebelum acara yang disertai lebih 50 bot berhias berlangsung di tepi sungai Muar (8.30 malam) dan pertunjukan bunga api di Dataran Tanjung Emas (11.30 malam).

"Sambutan tersebut akan berakhir pada 26 November dengan Demonstrasi Sukan Teras Johor dan derma darah yang kedua-duanya berlangsung di Dewan Jubli Intan (9 pagi)," katanya sambil menjemput orang ramai memeriahkan sambutan tersebut.

Rangkaian Blog