Halaman

13 Mei 2012

KMJ 2012 - Hari Pertama - 13 Mei 2012



BERITA KMJ 2012 - Hari Pertama - 13 Mei 2012

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar melambai tangan kepada rakyat sebelum memulakan Kembara Mahkota Johor 2012 di Kulaijaya, semalam.

Sultan Johor selar perhimpunan haram

KULAIJAYA 13 Mei (Utusan Malaysia) - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyelar tindakan segelintir pihak yang membawa budaya mencetus huru-hara sehingga berlakunya ketegangan dan mengugat ketenteraman awam melalui perhimpunan haram.

Baginda dalam titahnya menyifatkan perhimpunan demi perhimpunan yang diadakan hanyalah untuk mendapatkan publisiti dan liputan media yang menggambarkan seolah-olah negara dalam keadaan tidak aman.

"Akhir-akhir ini, saya perhatikan wujudnya budaya masyarakat yang cenderung membuat huru-hara dengan mencetuskan ketegangan sehingga menggugat ketenteraman. Golongan ini berhimpun dengan penuh emosi, gagal mengawal diri dan menimbulkan pergaduhan.

"Ingatlah, negara kita sudah bebas merdeka daripada penjajah tetapi bebas ini bukan bermakna kita bebas berbuat apa saja. Bebas di sini adalah kita boleh membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang yang mesti dipatuhi rakyat," titah baginda pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Ahli Parlimen Kulai, Tan Sri Ong Ka Ting.

Sultan Ibrahim turut memberi peringatan supaya seluruh rakyat di negara ini tidak bertindak sesuka hati sehingga membelakangi undang-undang kerana tiada mana-mana negara yang memberi kebebasan mutlak kepada penduduknya untuk melakukan apa sahaja tanpa batas.

"Oleh demikian, semua rakyat mesti patuhi undang-undang. Jika ada perkara yang tidak puas hati, gunakan saluran yang betul. Saya yakin semua rakyat khususnya di Johor menginginkan kedamaian dan keamanan," titah baginda lagi.


Sultan Johor tegur rakyat tidak mahu berubah, tingkatkan taraf hidup
Sultan Ibrahim menanam pokok jati laut tanda simbolik perasmian projek Rapid, semalam  

NORSHIKIN MOHD SALLEH (Sinar harian)
14 Mei 201
PENGERANG - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menegur tindakan segelintir kumpulan yang cuba menghasut masyarakat untuk menolak pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dengan tindakan meminta pampasan yang tidak munasabah.

Baginda tuanku bertitah, tindakan bantahan itu hanya akan menyebabkan rakyat terpinggir daripada arus pembangunan yang menawarkan kehidupan lebih baik.

“Saya ada terdengar suara-suara sumbang yang seakan-akan mahu menolak pembangunan yang hendak dibuat oleh kerajaan. Jika saudara-saudari tidak mahu berubah, maka rakyat akan terus tersisih dan terpinggir daripada arus pembangunan.

“Saya juga amat kesal dengan segelintir masyarakat yang cuba menentang pembangunan di Pengerang dan ada juga kumpulan yang cuba mengambil kesempatan menghasut orang di sini supaya membuat permintaan bukan-bukan,” titah baginda tuanku pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di sini, semalam.

Turut berangkat, lima putera baginda tuanku termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Tunku Temenggong, Tunku Idris.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Sultan Ibrahim bertitah, pemilihan Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas juga satu rahmat kepada Johor kerana pelaburan besar dicurahkan ke negeri itu.

“Pembangunan Rapid akan membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat," titah baginda tuanku.

Tuanku baginda turut bertitah agar penduduk di Pengerang memberikan kerjasama dan berkorban melepaskan kampung halaman serta harta-benda yang dimiliki.

“Ingin saya berkongsi maklumat tentang projek Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) yang mana Almarhum ayahanda saya, (Almarhum Sultan Iskandar Ibrahim) yang telah berkorban dengan membenarkan lebuh raya terbabit dibina secara bertingkat berhampiran kawasan istana,” titah baginda tuanku.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan masyarakat supaya berfikir panjang dan memandang jauh ke hadapan supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara yang sedang pesat kini.

Rapid yang melibatkan pelaburan RM60 bilion mempunyai kapasiti untuk menapis 300,000 tong minyak mentah import sehari dan akan menawarkan 4,000 peluang pekerjaan tetap.

Kembara Mahkota Johor Amat Istimewa Dan Unik - Perdana Menteri

KULAIJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri menyifatkan program jelajah Kembara Mahkota Johor 2012 selama empat hari bermula hari ini yang merentasi perjalanan sejauh 1,012 km di Johor sebagai sesuatu yang amat istimewa dan unik.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, Kembara Mahkota Johor telah berjaya merapatkan hubungan di antara Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan pelbagai lapisan rakyat negeri ini.

"Kembara Mahkota Johor merupakan suatu program yang istimewa dan unik kerana program seumpama ini tidak terdapat di negeri-negeri lain. Ia menunjukkan Sultan Johor amat mengambil berat tentang rakyatnya," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kembara Mahkota Johor 2012 yang dihadiri oleh ribuan rakyat pelbagai bangsa di TJ Mart, Saleng, di sini.

Perdana Menteri yang tiba di Johor Baharu petang semalam turut melepaskan konvoi bermotosikal Kembara Mahkota Johor 2012 yang diketuai oleh Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Johor.

Najib berkata program Kembara Mahkota Johor memberi peluang kepada Sultan Johor meninjau perkembangan terkini rakyatnya di seluruh ceruk pelosok negeri.

"Saya percaya tiada perkembangan (tentang rakyat Johor) yang tidak diketahui oleh baginda Tuanku," katanya sambil menambah, program Kembara Mahkota Johor juga selaras dengan falsafah gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan."

Rakyat Johor, katanya, amat bertuah kerana memiliki seorang Sultan yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Menurut Perdana Menteri, beliau merasa amat terhormat kerana telah diminta oleh Sultan Johor melepaskan peserta Kembara Mahkota Johor pada tahun ini.

Sambil berseloroh, Najib berkata, menaiki motosikal besar bukanlah bidang kemahirannya dan oleh kerana itulah beliau telah mengarahkan dua menteri kabinetnya mengiringi Sultan Johor sepanjang konvoi Kembara itu.

Dua menteri kabinet terbabit, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyertai Kembara Mahkota Johor 2012.

Sementara itu, Najib berkata, negeri Johor kini sedang berada di ambang perubahan yang amat besar menerusi pelbagai program pembangunan dan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan BN.

Katanya, negeri Johor telah dan akan terus menikmati kecemerlangan di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan BN sedia ada.

Beliau berkata, adalah amat penting rakyat Johor mengekalkan kerajaan negeri sedia ada daripada parti yang sama sebagaimana kerajaan pusat, bagi membolehkan usaha pembangunan dapat dilaksanakan tanpa masalah.

"Dengan kerajaan yang sama (di antara kerajaan negeri dan pusat), Johor akan menikmati kecemerlangan yang lebih besar," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

Sultan Johor Nasihat Rakyat Jangan Belakangkan Undang-Undang Negara

KULAIJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan rakyat supaya tidak membelakangkan undang-undang negara ini dalam mengemukakan sesuatu tuntutan terhadap kerajaan.

Menurut baginda, pada ketika ini terdapat di kalangan rakyat negara ini yang suka bertindak sehingga boleh mengugat keselamatan dan ketenteraman awam seperti mengadakan perhimpunan jalanan.

"Negara kita telah bebas dan merdeka, tetapi ia tidak bermakna kita bebas untuk berbuat sesuka hati dan melanggar undang-undang negara ini," katanya ketika melancarkan Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baginda yang mengetuai konvoi bermotosikal Kembara Mahkota Johor itu bertitah, matlamat penganjuran perhimpunan jalanan itu hanyalah untuk meraih publisiti daripada media antarabangsa dan menjatuhkan imej negara.

"Mereka mahu menunjukkan negara kita berada di dalam keadaan huru-huru," kata baginda pada ribuan hadirin pelbagai bangsa dan kaum yang menghadiri majlis perasmian Kembara Mahkota Johor itu.

Yang turut menghadiri majlis pelancaran itu termasuk Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Johor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyertai Kembara Mahkota Johor tahun ini.

Sultan Johor meminta rakyat negara ini supaya menggunakan saluran yang betul dan sah di sisi undang-undang dalam mengemukakan tuntutan mereka dan tidak sesekali melanggar undang-undang negara ini.

"Jangan buat tindakan yang sesuka hati atau membelakangkan undang-undang," titah baginda, sambil meminta rakyat supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara.

Baginda berkeyakinan segenap lapisan rakyat negara ini tidak kira agama, bangsa mahupun kaum mahukan kehidupan yang penuh dengan kedamaian dan ketenteraman.

Sultan Johor juga meminta rakyat supaya hidup bersatu padu.

Sementara itu, menurut baginda, program Kembara Mahkota Johor memberi peluang kepada baginda untuk meninjau perkembangan terkini rakyat negeri ini serta mengeratkan hubungan dengan mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri menerusi program tinjauan mesra beliau.

Baginda mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana hadir pada majlis pelancaran Kembara Mahkota Johor serta terhadap sumbangan kerajaan terhadap tabung Yayasan Kembara Mahkota Johor.

Titah baginda, sumbangan kerajaan terhadap tabung itu adalah sekali ganda lebih besar berbanding tahun lepas dan ia digunakan bagi membeli barangan yang akan mengubah kehidupan para penerima.

Sultan Johor turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri terhadap keprihatinan beliau dalam membantu rakyat Johor.

Kembara Mahkota Johor 2012 yang merupakan kali ke-13 dianjurkan, akan menjelajah sejauh 1,012 km meliputi beberapa daerah di Johor, membolehkan Sultan Johor menemui pelbagai lapisan rakyat negeri ini.

Ia akan tamat pada 16 Mei ini di Johor Baharu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Rangkaian Blog