Halaman

29 Mei 2012

WWW1 milik Sultan Johor


SHAH ALAM - Nombor plat kenderaan "WWW1", berjaya dibida oleh Sultan Johor dengan tawaran tertinggi sebanyak RM520,000.

Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar mendahului 9,999 pembida lain termasuk Yang di-Pertuan Agong, yang memenangi nombor plat WWW5 (RM220,000); Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong lai, memenangi nombor plat "WWW15 (RM24,200)" dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (WWW97) bernilai RM100,10.


Baginda memang dikenali sebagai peminat kenderaan mewah yang memiliki koleksi kereta antik dan model terbaru.

Maklumat mengenai bidaan itu dipaparkan dalam laman web rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi semalam adalah senarai pembida yang berjaya untuk plat premium.

Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Chong Ha mengumumkan nombor pendaftaran kenderaan "WWW1", mencatatkan tawaran bidaan tertinggi sehingga kini.

Nilai ini melepasi rekod yang dicatatkan "MCA1" pada 2010 yang dijual pada harga RM300,100. Bidaan terhadap nombor pendaftaran dikehendaki ramai bermula pada 30 April dan berakhir 14 Mei.

Dalam tempoh tersebut, ramai yang membanjiri tiga cawangan JPJ Kuala Lumpur untuk meletakkan tawaran mereka untuk no plat awalan "WWW" merupakan singkatan bagi World Wide Web.

16 Mei 2012

Gambar-Gambar Sekitar KMJ 2012 (Bernama)

SEGAMAT, 14 Mei -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan meluangkan masa bersama rakyat ketika tiba di Padang Awam Division 2 Chaah Segamat pada hari kedua Kembara Mahkota 2012 di sini hari ini.

SEGAMAT, 14 Mei -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencuba kemahirannya membuat tosei ketika melawat gerai makanan kaum India pada hari kedua Kembara Mahkota 2012 di Padang Awam Division 2 Chaah Segamat di sini hari ini.

JOHOR BAHARU, 16 Mei -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersalaman dengan pelajar-pelajar sekolah yang menyambut ketibaan baginda pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor 2012 di Plaza Angsana, Johor Baharu di sini hari ini.

JOHOR BAHARU, 16 Mei -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersalaman dengan pelajar-pelajar sekolah yang menyambut ketibaan baginda pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor 2012 di Plaza Angsana, Johor Baharu di sini hari ini. Turut kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman (belakang, kiri).

JOHOR BAHARU, 16 Mei -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan bergambar bersama peserta-peserta rombongan Kembara Mahkota Johor 2012 pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor 2012 di Plaza Angsana, Johor Baharu di sini hari ini.

KMJ 2012 - Hari Keempat - 16 Mei 2012

 
 

14 Mei 2012

Gambar Sekitar KMJ 2012 (Bernama)

Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengetuai konvoi bermotosikal Kembara Mahkota Johor 2012 yang dilepaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di TJ Mart, Saleng di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.  

 Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Majlis Pelancaran Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng di sini hari ini. Turut kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (kanan).

Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Majlis Pelancaran Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng di sini, hari ini. Turut kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim (kanan) 

 Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenan mendengar penerangan daripada Pengarah Projek Eksekutif Projek Rapid Petronas Wan Yusoff Wan Hamat (tiga, kiri) ketika melihat replika projek pembangunan bersepadu penapisan minyak dan petrokimia (RAPID) pada majlis pelancaran projek tersebut di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman, Sungai Rengit, Pengerang di sini hari ini. Turut kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman (kanan) dan Anggota Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman Said.

 Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menurunkan tandatangan di atas plak khas sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani dan Presiden Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas (kanan) pada majlis pelancaran projek pembangunan bersepadu penapisan minyak dan petrokimia (RAPID) di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman, Sungai Rengit, Pengerang di sini hari ini.

 Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman (kanan) menyiram air selepas menanam Pokok Jati Laut pada pelancaran projek pembangunan bersepadu penapisan minyak dan petrokimia (RAPID) di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman, Sungai Rengit, Pengerang di sini hari ini.

 Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenan bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada pelancaran projek pembangunan bersepadu penapisan minyak dan petrokimia (RAPID) di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman, Sungai Rengit, Pengerang di sini hari ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan meletakkan tangan di atas plak sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani dan Presiden Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas (kanan) pada majlis pelancaran projek pembangunan bersepadu penapisan minyak dan petrokimia (RAPID) di Kampung Datuk Abdul Ghani Othman, Sungai Rengit, Pengerang di sini hari ini.

KMJ 2012 - Hari Kedua - 14 Mei 2012

 
 
 


Sultan Johor: Jangan sesekali berpecah belah
Wartawan Sinar Harian
15 Mei 2012 
 Baginda beramah mesra dengan penduduk Kluang
KLUANG - “Terus bersatu padu untuk negeri Johor dan negara serta jangan sesekali berpecah belah.”

Demikian titah Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, secara ringkas sebagai pesanan kepada masyarakat ketika keberangkatan pulang baginda tuanku selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam.

Sebelum itu, Konvoi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 tiba di dewan tersebut kira-kira jam 10 pagi dan disambut dengan tarian persembahan tradisional masyarakat berbilang kaum.

Baginda tuanku sempat menjalankan aktiviti mencanting batik yang bercorakkan logo KMJ 2012, menulis kaligrafi dan menanam pokok, selain turut menikmati hidangan tradisi masyarakat Johor iaitu Lontong Darat.

Sultan Ibrahim bersama rombongan KMJ 2012 kemudian berkonvoi ke Ladang Integrasi Md Judyar Malik yang terletak di Parit Haji Hassan, Simpang Renggam, yang pernah memenangi anugerah Peladang Jaya Kebangsaan 1987.

Konvoi baginda tuanku tiba di ladang berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi dan kemudiannya berkenan untuk melawat di gerai pameran, ladang betik, pusat ternakan ikan air tawar dan ternakan kambing biri-biri, sebelum menghadiri majlis santapan makan tengah hari bersama rakyat.

Turut serta dalam KMJ tersebut ialah, Tunku Mahkota Johor, Tuanku Ismail dan Tunku Temenggong, Tunku Idris.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kluang, Abdul Karim Abu Bakar, dalam ucapannya menjunjung kasih di atas kesudian baginda tuanku dan rombongan diraja berkenaan melawat ladang itu.

“Ladang Integrasi Md Judyar Malik di Parit Haji Hassan ini adalah antara produk kebanggaan daerah ini kerana berjaya menghasilkan produk pertanian dan hasil ternakan berkualiti tinggi yang mendapat permintaan dari dalam dan luar negara.

“Ladang ini berupaya mengeluarkan sehingga 500,000 ikan air tawar termasuk keli, patin dan baung setiap bulan yang dipasarkan sehingga ke Singapura serta Batam, Indonesia selain dalam negara,” katanya.

Selain itu, Abdul Karim berkata, dianggarkan lebih 13,000 penduduk Kluang menyambut ketibaan rombongan KMJ 2012 di dua lokasi daerah ini.

Dengan jumlah kehadiran itu katanya, ia jelas menunjukkan bahawa rakyat Kluang menanti-nanti kedatangan baginda tuanku.
 

13 Mei 2012

KMJ 2012 - Hari Pertama - 13 Mei 2012



BERITA KMJ 2012 - Hari Pertama - 13 Mei 2012

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar melambai tangan kepada rakyat sebelum memulakan Kembara Mahkota Johor 2012 di Kulaijaya, semalam.

Sultan Johor selar perhimpunan haram

KULAIJAYA 13 Mei (Utusan Malaysia) - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyelar tindakan segelintir pihak yang membawa budaya mencetus huru-hara sehingga berlakunya ketegangan dan mengugat ketenteraman awam melalui perhimpunan haram.

Baginda dalam titahnya menyifatkan perhimpunan demi perhimpunan yang diadakan hanyalah untuk mendapatkan publisiti dan liputan media yang menggambarkan seolah-olah negara dalam keadaan tidak aman.

"Akhir-akhir ini, saya perhatikan wujudnya budaya masyarakat yang cenderung membuat huru-hara dengan mencetuskan ketegangan sehingga menggugat ketenteraman. Golongan ini berhimpun dengan penuh emosi, gagal mengawal diri dan menimbulkan pergaduhan.

"Ingatlah, negara kita sudah bebas merdeka daripada penjajah tetapi bebas ini bukan bermakna kita bebas berbuat apa saja. Bebas di sini adalah kita boleh membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang yang mesti dipatuhi rakyat," titah baginda pada Majlis Pelancaran dan Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Ahli Parlimen Kulai, Tan Sri Ong Ka Ting.

Sultan Ibrahim turut memberi peringatan supaya seluruh rakyat di negara ini tidak bertindak sesuka hati sehingga membelakangi undang-undang kerana tiada mana-mana negara yang memberi kebebasan mutlak kepada penduduknya untuk melakukan apa sahaja tanpa batas.

"Oleh demikian, semua rakyat mesti patuhi undang-undang. Jika ada perkara yang tidak puas hati, gunakan saluran yang betul. Saya yakin semua rakyat khususnya di Johor menginginkan kedamaian dan keamanan," titah baginda lagi.


Sultan Johor tegur rakyat tidak mahu berubah, tingkatkan taraf hidup
Sultan Ibrahim menanam pokok jati laut tanda simbolik perasmian projek Rapid, semalam  

NORSHIKIN MOHD SALLEH (Sinar harian)
14 Mei 201
PENGERANG - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menegur tindakan segelintir kumpulan yang cuba menghasut masyarakat untuk menolak pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dengan tindakan meminta pampasan yang tidak munasabah.

Baginda tuanku bertitah, tindakan bantahan itu hanya akan menyebabkan rakyat terpinggir daripada arus pembangunan yang menawarkan kehidupan lebih baik.

“Saya ada terdengar suara-suara sumbang yang seakan-akan mahu menolak pembangunan yang hendak dibuat oleh kerajaan. Jika saudara-saudari tidak mahu berubah, maka rakyat akan terus tersisih dan terpinggir daripada arus pembangunan.

“Saya juga amat kesal dengan segelintir masyarakat yang cuba menentang pembangunan di Pengerang dan ada juga kumpulan yang cuba mengambil kesempatan menghasut orang di sini supaya membuat permintaan bukan-bukan,” titah baginda tuanku pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di sini, semalam.

Turut berangkat, lima putera baginda tuanku termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Tunku Temenggong, Tunku Idris.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Sultan Ibrahim bertitah, pemilihan Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas juga satu rahmat kepada Johor kerana pelaburan besar dicurahkan ke negeri itu.

“Pembangunan Rapid akan membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat," titah baginda tuanku.

Tuanku baginda turut bertitah agar penduduk di Pengerang memberikan kerjasama dan berkorban melepaskan kampung halaman serta harta-benda yang dimiliki.

“Ingin saya berkongsi maklumat tentang projek Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) yang mana Almarhum ayahanda saya, (Almarhum Sultan Iskandar Ibrahim) yang telah berkorban dengan membenarkan lebuh raya terbabit dibina secara bertingkat berhampiran kawasan istana,” titah baginda tuanku.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan masyarakat supaya berfikir panjang dan memandang jauh ke hadapan supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara yang sedang pesat kini.

Rapid yang melibatkan pelaburan RM60 bilion mempunyai kapasiti untuk menapis 300,000 tong minyak mentah import sehari dan akan menawarkan 4,000 peluang pekerjaan tetap.

Kembara Mahkota Johor Amat Istimewa Dan Unik - Perdana Menteri

KULAIJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri menyifatkan program jelajah Kembara Mahkota Johor 2012 selama empat hari bermula hari ini yang merentasi perjalanan sejauh 1,012 km di Johor sebagai sesuatu yang amat istimewa dan unik.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, Kembara Mahkota Johor telah berjaya merapatkan hubungan di antara Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan pelbagai lapisan rakyat negeri ini.

"Kembara Mahkota Johor merupakan suatu program yang istimewa dan unik kerana program seumpama ini tidak terdapat di negeri-negeri lain. Ia menunjukkan Sultan Johor amat mengambil berat tentang rakyatnya," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kembara Mahkota Johor 2012 yang dihadiri oleh ribuan rakyat pelbagai bangsa di TJ Mart, Saleng, di sini.

Perdana Menteri yang tiba di Johor Baharu petang semalam turut melepaskan konvoi bermotosikal Kembara Mahkota Johor 2012 yang diketuai oleh Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Johor.

Najib berkata program Kembara Mahkota Johor memberi peluang kepada Sultan Johor meninjau perkembangan terkini rakyatnya di seluruh ceruk pelosok negeri.

"Saya percaya tiada perkembangan (tentang rakyat Johor) yang tidak diketahui oleh baginda Tuanku," katanya sambil menambah, program Kembara Mahkota Johor juga selaras dengan falsafah gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan."

Rakyat Johor, katanya, amat bertuah kerana memiliki seorang Sultan yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Menurut Perdana Menteri, beliau merasa amat terhormat kerana telah diminta oleh Sultan Johor melepaskan peserta Kembara Mahkota Johor pada tahun ini.

Sambil berseloroh, Najib berkata, menaiki motosikal besar bukanlah bidang kemahirannya dan oleh kerana itulah beliau telah mengarahkan dua menteri kabinetnya mengiringi Sultan Johor sepanjang konvoi Kembara itu.

Dua menteri kabinet terbabit, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyertai Kembara Mahkota Johor 2012.

Sementara itu, Najib berkata, negeri Johor kini sedang berada di ambang perubahan yang amat besar menerusi pelbagai program pembangunan dan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan BN.

Katanya, negeri Johor telah dan akan terus menikmati kecemerlangan di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan BN sedia ada.

Beliau berkata, adalah amat penting rakyat Johor mengekalkan kerajaan negeri sedia ada daripada parti yang sama sebagaimana kerajaan pusat, bagi membolehkan usaha pembangunan dapat dilaksanakan tanpa masalah.

"Dengan kerajaan yang sama (di antara kerajaan negeri dan pusat), Johor akan menikmati kecemerlangan yang lebih besar," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

Sultan Johor Nasihat Rakyat Jangan Belakangkan Undang-Undang Negara

KULAIJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan rakyat supaya tidak membelakangkan undang-undang negara ini dalam mengemukakan sesuatu tuntutan terhadap kerajaan.

Menurut baginda, pada ketika ini terdapat di kalangan rakyat negara ini yang suka bertindak sehingga boleh mengugat keselamatan dan ketenteraman awam seperti mengadakan perhimpunan jalanan.

"Negara kita telah bebas dan merdeka, tetapi ia tidak bermakna kita bebas untuk berbuat sesuka hati dan melanggar undang-undang negara ini," katanya ketika melancarkan Kembara Mahkota Johor 2012 di TJ Mart, Saleng hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baginda yang mengetuai konvoi bermotosikal Kembara Mahkota Johor itu bertitah, matlamat penganjuran perhimpunan jalanan itu hanyalah untuk meraih publisiti daripada media antarabangsa dan menjatuhkan imej negara.

"Mereka mahu menunjukkan negara kita berada di dalam keadaan huru-huru," kata baginda pada ribuan hadirin pelbagai bangsa dan kaum yang menghadiri majlis perasmian Kembara Mahkota Johor itu.

Yang turut menghadiri majlis pelancaran itu termasuk Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) Johor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyertai Kembara Mahkota Johor tahun ini.

Sultan Johor meminta rakyat negara ini supaya menggunakan saluran yang betul dan sah di sisi undang-undang dalam mengemukakan tuntutan mereka dan tidak sesekali melanggar undang-undang negara ini.

"Jangan buat tindakan yang sesuka hati atau membelakangkan undang-undang," titah baginda, sambil meminta rakyat supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara.

Baginda berkeyakinan segenap lapisan rakyat negara ini tidak kira agama, bangsa mahupun kaum mahukan kehidupan yang penuh dengan kedamaian dan ketenteraman.

Sultan Johor juga meminta rakyat supaya hidup bersatu padu.

Sementara itu, menurut baginda, program Kembara Mahkota Johor memberi peluang kepada baginda untuk meninjau perkembangan terkini rakyat negeri ini serta mengeratkan hubungan dengan mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri menerusi program tinjauan mesra beliau.

Baginda mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana hadir pada majlis pelancaran Kembara Mahkota Johor serta terhadap sumbangan kerajaan terhadap tabung Yayasan Kembara Mahkota Johor.

Titah baginda, sumbangan kerajaan terhadap tabung itu adalah sekali ganda lebih besar berbanding tahun lepas dan ia digunakan bagi membeli barangan yang akan mengubah kehidupan para penerima.

Sultan Johor turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri terhadap keprihatinan beliau dalam membantu rakyat Johor.

Kembara Mahkota Johor 2012 yang merupakan kali ke-13 dianjurkan, akan menjelajah sejauh 1,012 km meliputi beberapa daerah di Johor, membolehkan Sultan Johor menemui pelbagai lapisan rakyat negeri ini.

Ia akan tamat pada 16 Mei ini di Johor Baharu.

-- BERNAMA

Rangkaian Blog