Pengembaraan itu menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama dengan baginda akan memandu sendiri kereta api sejauh 391.3 kilometer bermula dari JB Sentral ke Gemas, Negeri Sembilan sebelum kembali semula ke JB Sentral.
Program menjelajah empat daerah itu merupakan kembara pertama sejak Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari lalu.
"Saya dan keluarga bersama ahli rombongan dapat melihat sendiri kehidupan dan cara hidup rakyat berbilang kaum di negeri ini.
"Perkara ini penting kerana dapat mengenali dan memahami rakyat, terutama rakyat di luar daerah. Bila kita rapat dengan rakyat, barulah mereka dapat nyatakan isi hati mereka," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan bangunan JB Sentral dan melancarkan KMJ 2010 di Dewan Menunggu Penumpang, JB Sentral di sini hari ini.
Turut berangkat menyertai rombongan berkereta api pada kira-kira pukul 10 pagi itu adalah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Johor Datuk Abdul Ghani Othman.
Muhyiddin, bagaimanapun, hanya menyertai rombongan itu sehingga ke Kulaijaya.
KMJ kali ini merupakan edisi ke-12 sejak dimulakan pada 2001 yang merupakan cetusan idea Sultan Ibrahim sendiri, yang ketika itu menjadi Tunku Mahkota Johor dengan bertujuan mendekatkan hubungan keluarga diraja Johor dengan rakyat.
Sebelum ini, edisi kembara adalah dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi, kereta pacuan empat roda dan bot bagi penjelajahan ke pulau-pulau sekitar Johor.
Usaha memandu sendiri kereta api itu bakal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai sultan pertama memandu kereta api secara rasmi dan baginda dijadual dikurniakan lesen memandu keretapi pada majlis yang akan diadakan di Stesen Keretapi Gemas, Isnin ini.
Sultan Ibrahim menerusi kembara kali ini dijadualkan singgah di beberapa stesen kereta api termasuk Kulaijaya, Kluang dan Chamek untuk bertemu rakyat.
Baginda dan rombongannya sejurus tiba di stesen kereta api, dijadualkan akan dibawa menggunakan kenderaan lain bagi melakukan pelbagai aktiviti.
Ini termasuk melawat Kampung Pertanian di Kulaijaya, melancarkan tabung amal Simpang Renggam, demonstrasi membuat tosai dan melancarkan portal Sekolah Agama Kampung Chamek dekat Kluang.
Sumber : Mingguan Malaysia, 27 Jun 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan