Halaman

01 Januari 2013

Sejarah Ringkas Johor Bahru

(Sempena memperingati 1 Januari sebagai tarikh Tanjung Puteri diubah namanya kepada Johor Bahru (1866) & pengisytiharan Johor Bahru sebagai Bandaraya(1994))

Johor Bahru diasaskan pada 1855 apabila Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja membentuk pusat pentadbiran baru bagi negeri Johor. Ketika itu Johor Bahru dikenali sebagai Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri. Baginda telah membangunkan sebuah gedung di atas sebuah bukit yang dikenali sekarang sebagai Bukit Timbalan.

Di zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, beberapa buah bangunan kerajaan, rumah pasung dan mahkamah telah didirikan. Beberapa orang pegawai juga telah dilantik bagi melicinkan pemerintahan ketika itu.

Pada tahun 1858, pejabat kerajaan di Teluk Belanga telah dipindahkan ke Iskandar Puteri. Bagi menjaga keamanan di sana, Sultan Abu Bakar telah mendirikan balai polis dan melantik sepupunya Raja Ahmad sebagai wakil pemerintah.

Di bawah pemerintahan  baginda yang bijak, negeri Johor sehari ke sehari bertambah maju dan bertambah hasilnya.

Sebagai kenang-kenangan terhadap rakyat dan bangsanya, pada hari Isnin, 1 Januari 1866, Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri telah diubah namanya kepada Johor Bahru sebagai Ibu Negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor, menggantikan Teluk Belanga di Singapura.

Sultan Johor iaitu Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor bertanggungjawab mengubah nama Ibu Negeri. Baginda mengambil tindakan itu memandangkan Tanjong Puteri mempunyai kedudukan yang lebih baik dan lebih sesuai dari Teluk Belanga sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan serta cepat pula membangun.

Selepas dari tarikh itu, Johor Bahru atas daya usaha Maharaja Abu Bakar, yang dikenali sebagai 'Bapa Johor Moden' membangun dengan pesatnya. Di sinilah baginda Sultan Abu Bakar mentadbir Negeri mengikut cara pentadbiran Inggeris.


 
Di bawah pentadbiran baginda secara moden itu bandar Tanjong Puteri atau Johor Bahru berkembang dengan pesatnya sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan. Pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan kerajaan mula ditubuhkan. 

Menjelang tahun 1866 Johor Bahru telah mempunyai Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Audit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, Jabatan Kerja Raya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran dan lain-lain.

Di bawah pemerintahan baginda juga, banyak bangunan bersejarah telah dibina di Johor Bahru. Antaranya ialah Istana Besar, Masjid Sultan Abu Bakar, Istanah Zaharah dan lain lain.

Kemudian pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, Bangunan Setiausaha Kerajan Negeri (kemudian dikenali sebagai Bangunan Sultan Ibrahim) dan Tambak Johor telah dibina menghubungkan dengan Singapura.

Saban tahun, Johor Bahru terus pesat membangun dan kemudian, pada 1 Januari 1994, Johor Bahru telah dinaiktaraf sebagai Bandaraya Johor Bahru dan Dataran Bandaraya Johor Bahru telah dibina sempena memperingati tarikh bersejarah tersebut.

22 November 2012

404 disenarai penerima pingat Johor


Johor Bahru: Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai 404 penerima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, hari ini.

Tunku Tun Aminah bersama adindanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar, menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I).

Sempena keputeraan ke-54 tahun ini, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima.

Mereka adalah Pengarah Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Brigadier Jeneral Effendi Ab Karim; Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahman.

Seramai 16 menerima anugerah Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) termasuk Pegawai Kewangan negeri, Marsan Kassim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (II) Pengurusan, Norizan Kulob.

Penerima lain anugerah itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Burhan Amin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Pengarah Unit Perancang Ekonomi Johor, Elias Hasran.

Turut menerima SMJ ialah pegawai daerah di Johor iaitu Ismail Karim (Kota Tinggi), Abdul Karim Abu Bakar (Kluang), Abdul Rahman Mohamed Dewam (Muar), Abdul Wahab Ridwan (Batu Pahat), Muji Salimon (Pontian), Kamarudin Abdullah (Kulaijaya), Amran Abdul Rahman (Johor Bahru), Mohd Nasir Abdul Salam (Mersing), Abdul Rahim Nin (Segamat) dan Ab Han Ramin (Ledang).

Penerima lain SMJ ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Chong Chee Han dan kakitangan Istana Pasir Pelangi, Ali Ismail.

Selain itu, seramai 28 menerima Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 261 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan 91 Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III).

Istiadat kurniaan semua darjah dan pingat terbabit dijadualkan berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Muar, mulai jam 8 pagi ini.

08 November 2012

Lebih 100,000 sambut Hari Keputeraan Sultan Johor

ABDUL Rahman Mohamed Dewam (kiri) menyerah sumbangan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli selepas Program Gotong-Royong Perdana di Muar, baru-baru ini.  
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

MUAR 5 Nov. - Lebih 100,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang akan diraikan selama lima hari lima malam di bandar ini bermula 22 November ini.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, sambutan dimulakan pukul 6 petang pada 21 November dengan majlis tahlil dan doa kesyukuran sempena pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini.

Beliau berkata, sambutan sebenar bermula pada 22 November bermula pukul 8 pagi dengan pemeriksaan barisan kehormat dan tabik hormat diraja di Jalan Arab sebelum majlis pengurniaan bintang kebesaran serta pingat berlangsung di Dewan Jubli Intan di sini.

"Ini adalah pertama kali majlis pengurniaan bintang kebesaran dan pingat dilakukan di luar dari Istana Besar, Johor Bahru selepas 125 tahun diadakan di situ. Kemudian diikuti jamuan teh bersama rakyat di Stadium Sultan Ibrahim, di sini (3 petang) dan forum perdana di Masjid Jamek Sultan Ibrahim (9 malam).

"Pada 23 November pula, Sultan Johor akan merasmikan Masjid Al-Ikhsan Batu 18, Air Hitam (9 pagi) sebelum berlangsungnya perarakan kereta berhias (9.30 malam)," katanya di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, lebih 20 kereta berhias akan berarak sejauh empat kilometer bermula dari bandar ini sebelum berakhir di Dataran Tanjung Emas dan orang ramai diminta berada di sepanjang jalan itu untuk menyaksikannya.

Pada 24 November pula diadakan pertandingan bola sepak dan bola jaring di stadium itu serta pertandingan futsal di Pusat Rakan Muda, Tanjung Emas yang bermula serentak (8 pagi) sebelum Majlis Istiadat Sempena Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas (8.30 pagi).

Sambutan diteruskan dengan Cabaran Jet Ski Antarabangsa di pesisiran Sungai Muar (2.30 petang) yang disertai lapan negara, antaranya Singapura, Thailand, Jepun dan Amerika Syarikat sebelum berlangsung Majlis Kurniaan Bungkusan oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah kepada golongan kurang bernasib baik di Dewan Nur, Jalan Junid (3 petang).

Beliau berkata, sambutan pada hari ketiga diakhiri dengan persembahan kebudayaan dan kesenian oleh artis-artis tempatan di stadium dan pada 24 November pula pertandingan jet ski disambung semula (8 pagi).

"Pada masa sama diadakan pertandingan bola sepak, futsal, bola jaring (8 pagi) sebelum acara yang disertai lebih 50 bot berhias berlangsung di tepi sungai Muar (8.30 malam) dan pertunjukan bunga api di Dataran Tanjung Emas (11.30 malam).

"Sambutan tersebut akan berakhir pada 26 November dengan Demonstrasi Sukan Teras Johor dan derma darah yang kedua-duanya berlangsung di Dewan Jubli Intan (9 pagi)," katanya sambil menjemput orang ramai memeriahkan sambutan tersebut.

Rangkaian Blog