Halaman

01 Januari 2008

Happy New Year 2008
Selamat Tahun Baru 2008

22 September 2007

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor Pertama

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad (1838- 3 Julai 1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama. Sultan Abu Bakar Temenggung Daeng Ibrahim telah melantiknya menjadi Menteri Besar pada tahun 1882.

Keturunan

Beliau dilahirkan dalam tahun 1838 di Teluk Belanga, Singapura. Beliau adalah berketurunan Bendahara Paduka Raja Johor dan Bendahara Kerajaan Melaka. Datuknya, Dato’ Abdul Jabar, mempunyai isteri seramal 20 orang. Hanya keturunan cucu Dato’Abdul Jabar iaitu, Dato’ Haji Mohamad bin Tahir yang dapat bertahan di Riau-Lingga.

Dua orang anaknya iaitu Abdullah dan Haji Muhammad, telah mengikut Temenggung Abdul Rahman, penguasa Johor dan Singapura, berhijrah ke Singapura pada awal kurun ke-19. Pengasasan kerajaaan Jahar moden daripada keturunan Temenggung Abdul Rahman itu kemudian telah secara langsung mementingkan keturunan Dato’ Haji Mohamad Tahir sebagai Menteri Besar Johar, bermula dengan Abdullah sebagai Menteri Temenggung Ibrahim dan kemudian diikuti pula dengan anak Haji Muhammad, iaitu Dato’ Jaafar sebagai Menteri Besar semasa di bawah pemerintahan Sultan Aba Bakar.

Di sebelah datuk perempuannya pula, Dato’ Jaafar berketurunan daripada Orang Kaya Semantan, iaitu seorang pembesar daerah Pahang yang penting. Pahang yang merupakan sebahagian daripada negeri taklukan Melaka, merupakan salah sebuah daerah pelarian pembesar pembesar Melayu selepas Melaka dikalahkan oleh Portugis.

Dengan itu, hubungan politik dan persaudaraan itu dikekalkan melalui perkahwinan anak-anak pembesarnya. Che’ Buruk, anak Orang Kaya Semantan telah mendapat seorang cucu iaitu Che’ Ana. Kemudian, Che’ Ana telah dikahwinkan dengan Haji Muhammad. Mereka mendapat beberapa orang cahaya mata dan salah seorang daripadanya ialah Dato’ Jaafar, Menteri Besar Johor.

Kehidupan Awal

Beliau mendapat pendidikan Melayu di Sekolah Melayu Telok Belanga. Kehidupan keluarganya agak susah; ayahnya Haji Muhammad, seorang penenun kain. Untuk menampung kehidupannya, Dato’ Ja’afar menjaja kuih, sebelum diterima bekerja sebagai kerani di pejabat Temenggung Ibrahim di Telok Belanga, Singapura pada tahun 1854.

Atas kesungguhannya bekerja, Dato’ Ja’afar dilantik menggantikan bapa saudaranya, Abdullah sebagai Penasihat dan Setiausaha Negeri Johor di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar, pada tahun 1860-an.

Kerjaya

Kemunculan Dato' Ja’afar sebagai orang penting dalam sejarah Johor bermula dengan perlantikan bapa saudaranya, Encik Abdullah bin Tok Muhammad Tahir sebagai ‘menteri’ kepada Temenggung Daing Ibrahim (1810— 1862).

Dato' Ja’afar mulai berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor ketika berumur 16 tahun, sebagai Pelatih Kerani di Pejabat Menteri kepada Temenggung Ibrahim. Dalam tahun 1856 beliau telah dilantik sebagai Kerani Besar di Pejabat Menteri. Kemudian beliau dilantik sebagai Penasihat dan Setiausaha Negeri Johor menggantikan bapa saudaranya Encik Abdullah, di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar, pada tahun 1860-an.

Semasa dilantik ke jawatan itu, beliau telah banyak melakukan perubahan dalam pentadbiran Negeri Johor. Antaranya pada 1868, Majlis Mesyuarat Negeri Johor ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1873, pelbagai jabatan diwujudkan, antaranya Jabatan Perbendaharaan & Pesuruhjaya Polis.

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Dato' Bentara yang setara jawatannya dengan Menteri Besar kini. Kemudiannya beliau terus memangku jawatan Dato' Menteri sehingga tahun 1882, dan kemudian terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor oleh Maharaja Abu Bakar.

Perlantikan Dato' Jaafar bin haji Muhammad sebagai Menteri Besar ini adalah merupakan peristiwa bersejarah bagi negeri Johor, kerana inilah julung-julung kalinya seorang Menteri Besar dilantik dalam pentadbiran kerajaan Johor.

Beliau adalah pengiring Maharaja Abu Bakar dalam lawatan pertamanya ke Eropah pada tahun 1866. Ketika memegang tugas sebagai Menteri Besar, beliau pernah memangku tugas Sultan Johor untuk menjalankan pentadbiran negeri, ketika baginda keluar negeri. Pada tahun 1904 beliau telah dilantik oleh Sultan sebagai Pemangku Raja.

Tugasnya yang terpenting ialah memimpin negeri serta menjalankan pentadbiran negeri. Beliau adalah seorang yang berani dan bersemangat waja dalam menjalankan tugasnya.

Sumbangan

Semasa beliau menjadi Menteri Besar dari tahun 1882 hingga 1919, semua pegawai British yang berkhidmat di Johor diwajibkan memakai pakaian rasmi kerajaan Johor. Bendera Union Jack, iaitu bendera kerajaan British, tidak boleh dikibarkan lebih tinggi daripada bendera negeri Johor. Di samping itu, semua surat-menyurat mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu.

Di samping terkenal sebagai seorang Pegawai kerajaan yang setia, cekap, bijak, amanah dan berterus terang beliau juga adalah salah seorang tokoh pentadbir Negeri Johor yang menentang cubaan campurtangan Inggeris di Johor pada tahun 1910.

Beliau menjadi Menteri Besar dan penasihat Sultan Ibrahim. Pada tahun 1909, melalui sepucuk surat, Dato’ Ja’afar telah menasihatkan Sultan Ibrahim supaya tidak memasukkan seorang penasihat British ke dalam pentadbiran Johor. Dato’ Ja’afar bimbang dengan kesan campur tangan British dalam pentadhiran Johor. Beliau disokong oleh Dato’ Ab. Rahman Andak, seorang pembesar Johor, yang lebih lantang daripada Dato’ Ja’afar. Walaupun Dato’ Ja’afar gagal menahan keputusan Sultan Ibrahim, namun, beliau telah bersuara menentang kemasukan British ke Johor. Usianya yang lanjut mengetepikan kepentingan beliau di mata Sultan Ibrahim.

Bagi mengenang jasa dan bakti beliau kepada kemajuan negeri Johor, baginda Sultan Abu Bakar telah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) kepada beliau. Beliau juga dikurniakan Darjah Ketiga Bintang St. Michael dan St. George oleh Queen Victoria England.

Keluarga

Beliau berkahwin sebanyak lima kali. Beliau dikurniakan 13 orang cahaya mata bersama-sama isteri-isterinya ;

1. Aishah Ibrahim mendapat cahaya mata, Dato’ Mustapha, Aminah, Fatimah.

2. Maimunah mendapat cahaya mata, Khadijah.

3.Emon Abu Talib mendapat cahaya mata, Dato’ Abdullah, Che Dara.

4. Rugayah Hanum Abdullah mendapat cahaya mata, Aishah, Kamariah, Dato’ Onn, Malik, Azizah, Muhammad, Ahmad, Yahya.

5. Selamah Ambak mendapat cahaya mata, Rugayah.

Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada tahun 3 Julai 1919 dan telah dikebumikan dengan penuh istiadat di Makam Mahmoodiah ,Johor Bahru, Johor.

17 September 2007

Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar *

Semua orang tahu akan kewujudan kota A Famosa di Melaka. Walaupun kebanyakan bahagian kota Portugis berumur sekitar 500 tahun itu telah hancur ditelan zaman, beberapa bekas peninggalannya seperti bangunan besar di atas Bukit St. Paul berserta pintu gerbang utama yang sering menghiasi poskad daripada Melaka masih utuh untuk tatapan ramai.







Melaka mungkin telah beberapa kali bertukar pemerintahan daripada Portugis pergi ke tangan Belanda kemudian Inggeris kemudian baru kembali ke dalam genggaman orang Melayu terutama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi nama A Famosa yang bermaksud kota yang terkenal masih mekar sampai ke hari ini. Manakan tidak, suatu masa dahulu ia adalah satu daripada tiga kota utama di rantau Asia yang digunakan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan Timur ke Barat… Dua kota lagi ialah Hormuz di Timur Tengah dan Goa di benua Hindi. Lalu ramai yang tidak sedar bahawa di Semenanjung Tanah Melayu ini pernah wujud sebuah lagi kota Portugis, dalam banyak-banyak tempat di Muar, Johor. Walaupun kesannya telah lama hilang, tidak seperti tinggalan A Famosa yang boleh disaksikan sehingga kini, kewujudannya boleh dibuktikan melalui catatan-catatan Portugis terutama sebuah lakaran peta lama oleh Eredia yang dilukis tahun 1604.







Pada segmen “Laksamana pulang ke Perak” kali ini, biar kita bincangkan sedikit mengenai kota yang kemungkinan besar pernah meliputi pusat bandar Muar sekarang. Penulis ada sebab untuk percaya bahawa kota itu telah didirikan di atas runtuhan Kubu Bentayan yang tercatit sebagai tempat pertahanan terakhir kerajaan Melaka melawan Portugis sebelum kalah tahun 1511.



Selain itu, elok juga kita bercerita sedikit tentang Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5km daripada pusat bandar Muar. Mengikut cerita setempat, di sinilah berlaku peristiwa Si Tanggang, anak derhaka yang disumpah berserta seisi kapalnya menjadi batu kerana tidak mahu mengakui pertalian darah dengan ibu-bapanya.



Untuk melengkapkan segmen ini, penulis juga ingin bercerita sedikit tentang Raja Temenggung Muar, satu jawatan bangsawan bagi pemerintah daerah Muar (dahulunya negeri!) yang pernah meliputi wilayah Segamat. Untuk makluman, segmen kali ini adalah penutup cerita-cerita tentang Muar yang dibuat setelah beberapa kawasan di Johor dilandar banjir luar-biasa penghujung tahun lepas. Insyaallah selepas ini kita akan mula menerokai cerita-cerita lama dalam perjalanan penulis ke Pantai Timur yang dibuat sejurus sebelum itu. Ayuh… Teruskan membaca!




Kota Portugis di Muar




Lebih sebulan lepas, penulis terjumpa sekali lagi lakaran peta kota Portugis di Muar, semasa melayari Internet. Bukan tidak pernah terjumpa sebelum ini tetapi kali ini baru terasa mahu mengambil berat. Maka lakaran itu ditunjukkan kepada seorang sahabat, terus dia tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang kota ini, di manakah letaknya, apakah cerita di sebaliknya.



Tidak banyak sumber bacaan rasmi yang dapat ditemui penulis untuk mengenali sejarah kota yang sudah hilang ini. Kebanyakan orang termasuk penduduk tempatan tidak sedar pun kota ini pernah wujud. Alangkan Kota Bentayan yang tinggi nilai sejarahnya sebagai pusat pertahanan terakhir kerajaan Melaka melawan Portugis tahun 1511 pun ramai tak ambil endah, padahal sebuah batu peringatan telah didirikan oleh majlis daerah berdekatan Medan Selera Bentayan, inikan mahu mencari cerita kota Portugis yang kesannya langsung tidak kelihatan lagi. Tetapi melalui petunjuk tertentu, kita masih boleh membuat spekulasi akademik mengenainya bermula dengan kedudukannya.





Fortaleza de Muar yang dibina oleh Portugis pada 1604




Perhatikan peta lakaran Eredia yang dibuat tahun 1604… Kedudukan Sungai Muar dengan liku-likunya tidak banyak berbeza dengan rupa-bentuk peta Muar sekarang. Di sebelah kanan kota itu, kelihatan sebuah sungai kecil yang bertemu dengan Sungai Muar dengan ciri-ciri yang menepati kedudukan geografik Sungai Bentayan sampai sekarang. Apa yang berbeza adalah kota itu tidak wujud lagi sekarang… Sebaliknya di situlah terletaknya pusat bandar Muar terutama kawasan pasar dan stesyen bas ekspress antara bandar.



Dari segi kedudukan, memang logik dan strategik untuk Portugis membina kota pertahanan di situ, cukup sesuai untuk melihat pergerakan keluar-masuk kapal ke Sungai Muar yang pernah menjadi laluan utama untuk masuk ke Pahang, juga satu sudut untuk menghampiri Kota Melaka. Kawasan itu pernah digunakan oleh Sultan Ahmad untuk mendirikan Kubu Bentayan demi melawan penjajah, maka sudah tentu baginda ada perkiraan dan nasihat pakar kenapa kawasan itu sesuai dijadikan kota baik oleh orang Melayu mahupun sesiapa.



Persoalan seterusnya, kenapa kota Portugis yang dikatakan dibina daripada batu pejal ini boleh hilang tanpa kesan? Dalam hal ini penulis teringat beberapa catatan yang pernah dibaca (tidak ingat di mana) tentang perang Portugis dengan orang Melayu terutama daripada kerajaan Aceh… Teringat satu catatan menyebut telah berlaku satu perang laut yang sangat besar di Kuala Sungai Muar dan kelihatan asap berkepul-kepul daripada bahagian daratan. Apakah asap itu daripada kesan kota Portugis yang terbakar dihancurkan tentera Aceh?



Sekali lagi kita boleh membuat spekulasi yang bernas dan akademik terutama jika kita tahu tentang cerita serangan terhebat Aceh terhadap Portugis demi memerdekakan Kota Melaka. Untuk makluman, serangan yang dilakukan tahun 1629 atas perintah Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh 1607-1636) telah menyaksikan Kota Melaka dikepung selama 2 tahun! Aceh nyaris menang kerana tinggal kota A Famosa dan Bukit St Paul sahaja yang perlu ditawan. Tetapi kesilapan taktikal akibat perbalahan dua orang komander tentera Aceh menyaksikan angkatan Aceh tersepit lalu dihancurkan armada bantuan Portugis yang baru sampai daripada Goa. Dan Aceh turut menerima padah akibat orang Melayu mudah dihasut penjajah, apabila angkatan perang Johor dan Pahang turut membantu Portugis atas alasan takut Aceh akan semakin berkuasa jika berjaya menakluki Kota Melaka!



Apapun, sejarah rasmi yang menyebut Aceh cuma tidak sempat menawan kota A Famosa sahaja dalam perang ini cukup untuk menunjukkan kenapa kota di Melaka itu masih wujud sehingga kini sedangkan kota Portugis di Muar sudah hilang kesannya. Tentunya lokasi pertahanan Portugis lain termasuk kota di Muar telah berjaya ditawan lalu dihancurkan Aceh, tinggallah kota di Melaka yang menjadi bukti kehadiran dan cengkaman penjajah sampai ke hari ini.





Bukit Treh dan Si Tanggang, anak derhaka




Sepertimana ramai orang tahu akan kewujudan Kota A Famosa di Melaka, rasanya begitu juga ramai orang Melayu pernah mendengar cerita Si Tanggang, seorang anak derhaka yang disumpah oleh ibunya sehingga dia dan seisi kapal miliknya bertukar menjadi batu. Cerita lagenda Melayu ini sangat terkenal sehingga ada beberapa lokasi di Tanah Melayu dikaitkan dengannya, termasuk Batu Caves di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang sekarang terkenal dengan kuil Hindu serta patung dewa setinggi bangunan 14 tingkat di hadapannya.



Wilayah Indonesia juga memiliki cerita yang serupa, cuma nama wataknya berbeza iaitu Malim Kundang. Kesannya dikatakan masih ada di Sumatera, hingga kini masih kelihatan batu-batan berbentuk sauh, tali kapal, manusia dan sebagainya. Tetapi berapa ramai yang tahu cerita anak derhaka disumpah jadi batu ini juga dikatakan berlaku di Muar, lebih tepat lagi di Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km daripada pusat bandar kedua terbesar di Johor itu?



Penulis sendiri sudah mendengar cerita ini sejak kecil, kerana bukit tersebut terletak di dalam lingkungan Kampung Temiang, kampung kepada ibu… Tidak pastilah jika watak yang diceritakan itu memang bernama Si Tanggang, yang pasti ceritanya serupa…Sekadar mengimbas kembali, Si Tanggang dilahirkan di kalangan keluarga miskin yang duduk di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga orang asli. Apabila masuk remaja dia telah keluar merantau ke negeri orang, ada pula cerita yang menyebut dia telah ditangkap rombongan pendatang yang kemudian membawanya belayar ke negeri lain. Apapun, anak muda ini sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Maka dia berjaya menjadi saudagar kaya-raya dan turut menjadi nakhoda kapal, dapat berkahwin dengan beberapa orang isteri (menurut satu riwayat, tiga orang) dan isteri nombor tiga adalah seorang puteri raja.



Pada suatu hari Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga isterinya berjalan. Kebetulan dan tanpa disedari dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Dipendekkan cerita, ibu-bapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.



Sebenarnya Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibu-bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa malu hendak mengaku di hadapan orang-ramai terutama para isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan. Apapun, menurut ceritanya, isteri ketiga yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka.



Rupa-rupanya kata-kata ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua itu pergi. Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa, kalau betullah pemuda di hadapannya adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu.



Oh baru teringat, ada satu sahaja perbezaan antara cerita Si Tanggang yang dikenali ramai dengan cerita serupa di Muar… Watak utama di Bukit Treh, Muar telah bertukar menjadi helang yang dikatakan sampai sekarang kadang-kala berlegar di kawasan itu, helang lagenda yang dikenali sebagai helang makku! Sebabnya, ia terlalu menyesal atas kesalahannya lalu sering keluar terbang sambil menjerit merintih memanggil ibunya: “Makku! Makku!”



Hmm… Jelaslah kalau begitu, watak itu ceritanya serupa dengan cerita Si Tanggang tetapi orangnya lain. Yang pasti, memang ada sebuah bukit kecil yang kalau diteliti rupanya memang kelihatan seperti sebuah kapal yang terbalik. Dan ada kesan-kesan bentuk rupa batu-batan yang menandakan kawasan itu pernah menjadi laut suatu masa dahulu.



Mengikut cerita orang tua-tua, di situ juga pernah terdapat sebuah pintu gua di mana penduduk kampung boleh keluar-masuk dan meminjam pinggan-mangkuk daripada alam bunian untuk digunakan dalam majlis keramaian. Tetapi pintu gua itu telah lama terkambus, sejak seorang penduduk kampung melanggar syarat kerana tidak memulangkan pinggan-mangkuk yang dipinjam.





Raja Temenggung Muar




Bila bercerita tentang Muar, penulis mesti teringat akan Raja-raja Temenggung Muar yang pernah memerintah Muar (dahulunya termasuk Segamat di dalamnya) sebagai sebuah negeri berdaulat tetapi di bawah jajahan takluk empayar Johor-Riau-Lingga yang merupakan warisan peninggalan kerajaan Melaka lama. Kebetulan semasa kecil dahulu, penulis selalu melalui Jalan Temenggung Ahmad untuk pergi belajar di Sekolah Rendah Ismail Dua… Tetapi apabila sudah dewasa, barulah tahu nama itu adalah milik salah-seorang pemerintah bergelar Raja Temenggung Muar.



Penulis mula tahu tentang kewujudan mereka apabila tergerak untuk mengkaji sejarah kaitan para Ahlul Bait anak cucu Nabi dengan Raja-raja Melayu. Maka tersebutlah akan Bendahara Tun Sri Lanang, Bendahara Johor yang menulis kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Si Bendahara berserta ramai para pembesar dan kerabat diraja Johor pernah ditawan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam lalu dibawa ke Aceh tahun 1615. Di situlah Tun Sri Lanang menetap dan seorang cucu perempuannya telah berkahwin dengan Sayyid Zainal Abidin daripada keluarga Al-Aidrus yang menetap di Kampung Pasir Aceh.



Adapun satu cerita menyebut Sayyid Zainal Abidin kemudian berhijrah ke Muar lalu dikenali sebagai Temenggung Paduka Tuan. Ada pula cerita menyebut, Sayyid ini telah merantau dari Aceh ke Muar untuk mencari seorang isteri kerana menurut petanda dalam mimpi lalu di situlah beliau berjumpa dengan cucu Tun Sri Lanang itu.Seorang cucu mereka menjadi Bendahara semasa zaman pemerintahan Sultan Mahmud Mangkat dijulang (memerintah Johor, Riau , Lingga dan segala jajahan takluknya 1685-1699), Sultan terakhir Johor daripada keturunan Raja-raja Melaka. Beliau ialah Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Daripada Bendahara ini lahirlah Sultan-sultan seterusnya untuk negeri Johor, Pahang dan Terengganu. Apa yang ramai tidak tahu, sang Bendahara mempunyai abang yang telah dikurnikan negeri Muar dan jajahan takluknya. Daripada abang bernama Sayyid Jaafar inilah munculnya para pemerintah yang dikenali sebagai Raja Temenggung Muar.



Rangkaian Blog