Halaman

22 November 2010

Sultan Johor Kurnia Gelaran DYMM Kepada Isteri Baginda Sempena Hari Keputeraan

JOHOR BAHARU, 22 Nov (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim berkenaan mengurniakan gelaran "Duli Yang Maha Mulia" ke atas isteri baginda, Yang Mulia Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersempena istiadat sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-52, Isnin.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata Sultan Ibrahim pada istiadat penganugerahan yang akan berlangsung di Istana Besar itu, turut berkenan mengurniakan gelaran "Yang Amat Mulia Enche' Besar" ke atas bonda baginda, Hajah Khalsom Abdullah.

"Mulai Isnin, gelaran rasmi Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah dan dibahasakan sebagai "Tuanku" manakala Yang Amat Mulia Enche' Besar Hajah Khalsom dan dibahasakan sebagai "Yang Amat Mulia" hendaklah digunakan dalam sebarang urusan rasmi," kata Abdul Rahim kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata gelaran terhadap Yang Amat Mulia Enche' Besar dikurniakan Sultan Ibrahim sebagai menghormati bonda baginda dan gelaran itu pertama kali dikurniakan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar ke atas suri baginda iaitu Yang Amat Mulia Enche' Besar Zubaidah Abdullah.

Menurut Abdul Rahim, Hajah Khalsom akan turut dikurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK I) yang merupakan darjah tertinggi bagi Johor manakala Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan dikurniakan Pangkat Pertama Datuk Seri Setia Sultan Ismail (SSIJ), pada istiadat berkenaan.

Katanya, Sultan Ibrahim juga akan melantik kedua-dua anakandanya, Tunku Abdul Jalil sebagai menteri bagi darjah Sultan Ismail Yang Amat Diberkati dan Tunku Abdul Rahman sebagai bentara bagi darjah yang sama supaya anakanda baginda mempelajari dan mewarisi adat istiadat negeri Johor.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata istiadat esok yang dijangka bermula pada pukul 9.30 pagi akan didahului dengan doa kesyukuran dan disusuli dengan tabik hormat dari Askar Timbalan Setia sebelum Sultan Ibrahim masuk ke singgahsana.

Beliau berkata Tunku Abdul Rahman akan mengambil bahagian sebagai pegawai panji-panji yang akan membawa panji-panji Askar Timbalan Setia semasa perbarisan kehormatan pasukan berkenaan.

"Ucap selamat bagi pihak rakyat dan kerajaan Johor oleh Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman akan diiringi Exco Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar Johor, Tan Kok Hong; dan Exco Perpaduan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Johor, M. Asojan yang mewakili kaum Cina dan India," katanya.

Menurut Abdul Rahim, Menteri Besar yang diiringi wakil kaum Cina dan India itu diamalkan oleh kerajaan Johor satu masa dahulu selain menyokong gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, ketika ini.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Abdul Latiff Yusof pula berkata pelbagai program untuk rakyat dianjurkan di setiap daerah di negeri ini sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda sultan termasuk pertandingan memancing ikan di Pantai Stulang esok manakala konsert rakyat pada sebelah malam di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu.

"Sultan Ibrahim akan bersama-sama rakyat pada pukul 3 petang di majlis Jamuan Teh di Dataran Bandaraya Johor Baharu pada Selasa dan jamuan malam anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Persada Johor pada Rabu," katanya.

-- BERNAMA

Rangkaian Blog