Halaman

08 Disember 2015

Iskandar Puteri nama baharu Nusajaya

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengisytiharkan Iskandar Puteri sebagai nama baharu pusat pentadbiran negeri, Nusajaya dan mengembalikan nama asal dua daerah berkuat kuasa Januari depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, Sultan Ibrahim juga berkenan supaya nama daerah Ledang dan Kulaijaya dikembalikan kepada asal iaitu Tangkak dan Kulai.

"Iskandar Puteri adalah gabungan nama lama Johor Bahru iaitu Tanjung Puteri dan Kota Iskandar manakala Tangkak adalah nama daerah Ledang sebelum ini, sama seperti Kulai untuk Kulaijaya.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan pertukaran nama itu dan kini dalam proses pewartaan dan dijangka berkuat kuasa Januari nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

05 Disember 2015

Tunku Laksamana Johor mangkat




JOHOR BAHARU, 5 Dis (Bernama) -- Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam ini di Hospital Sultanah Aminah di sini akibat kanser.

Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik putera Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.


Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang mengumumkan mengenai berita kemangkatan itu berkata jenazah Almarhum akan diiring ke Istana Besar malam ini dan ditempatkan di Bilik Khas Istana Besar.


"Istiadat siram jenazah dan kafan akan dilakukan kira-kira 7 pagi esok dan seterusnya jenazah Almarhum akan disemayam di Bilik Singgahsana Istana Besar," kata beliau dalam sidang akhbar di Bukit Timbalan di sini hari ini.


Abdul Rahim berkata orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir pada pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi esok di Bilik Singgahsana, Istana Besar.


Jenazah Almarhum akan disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini selepas waktu Zohor esok.

-- BERNAMA

03 November 2015

JDT Cipta Sejarah Pasukan Malaysia Pertama Juara Piala AFC






KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Jaringan tunggal perancang tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan, malam ini.

Pencapaian itu sekali gus, mengubat kekecewaan mereka yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan sulung pada 2009, yang ketika itu dikenali sebagai Johor FC.

Selaku juara, JDT membawa pulang trofi Piala AFC yang disampaikan sendiri oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain wang tunai berjumlah US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol FC meraih US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara.

Lebih manis, kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling bernilai, manakala kapten Istiklol FC, Vasiev Dilshod dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Kejayaan berkenaan merupakan trofi ketiga yang diraih JDT musim ini, selepas muncul juara Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 31 Jan lepas, selain menjuarai Liga Super 2015.

Beraksi di atas padang tiruan malam ini, nyata memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah yang menguasai babak awal perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol JDT, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka gagal meraih sebarang gol.

Nasib sebaliknya menyebelahi skuad Harimau Selatan yang berjaya mengejutkan pasukan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-22 menerusi Velazquez, sekali gus menggembirakan hampir 500 penyokong skuad Harimau Selatan yang turut hadir memberikan sokongan.

Gol berkenaan berpunca daripada sepakan penjuru Safiq yang ditampan keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Nikola Stosic sebelum Velazquez meluru sebelum melepaskan rembatan kaki kiri daripada luar kotak penalti.

Tersentak dengan gol itu, Istiklol FC kembali memperkemaskan permainan untuk memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan JDT diketuai Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Marcos Antonio menyaksikan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan tuan rumah meneruskan serangan ke arah kubu JDT, dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi Dzhalilov Manuchehr Jalilov, namun jaringannya dibatalkan pengadil, Minoru Tojo dari Jepun selepas Dilshod berada pada kedudukan ofsaid.

Jalilov sekali lagi, berjaya menjaringkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan, namun Minoru tidak membenarkan gol berkenaan kerana pemain itu berada pada kedudukan ofsaid, dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

-- BERNAMA

Rangkaian Blog